Sans-serif

Aa

Serif

Aa

Font size

+ -

Line height

+ -
Light
Dark
Sepia

Ratu Cantik dalam Dunia Mak Nyah

Oleh REGINA IBRAHIM.

Cantik menarik seksi dan mulus… tidak ada bezanya dengan ratu cantik wanita cisgender apabila memasuki alaf baru. Setakat ini tidak ada catatan sejarah di mana bermulanya pertandingan ratu cantik Mak Nyah.

Di Malaysia Ratu Cantik Mak Nyah mula menjadi acara penting sejak pertengahan tahun 70an. Sekumpulan jelitawan akan bertanding di majlis harijadi teman-teman atau diadakan majlis sosial di dewan orang ramai. Memasuki era disko pada awal tahun 80an, kelab kelab mula mengajurkan pertandingan sebegini dengan pelbagai gelaran; Queen of The Night, Mizz Malaysia, Supermodel of the year, Tranzz Pageant dan lain-lain gelaran yang menangkap. Para perserta juga bercampur-campur, ada yang gay boy, gay girl, pasang siap atau Mak Nyah HRT. Terdapat pertandingan yang berlangsung secara berperingkat-peringkat, saringan, semi-final dan final. Hadiah hadiah lumayan mengikut zaman di sediakan untuk para pemenang termasuklah hadiah-hadiah sampingan (subsidiary titles).

Pulau Pinang, Taiping, Kuantan, Johor dan Kuala Lumpur merupakan lokasi-lokasi aktif pertandingan ratu cantik Mak Nyah suatu ketika dahulu. Pertandingan selalunya terbuka pada semua kaum Mak Nyah yang ingin bertanding. Hasil gempuran Jabatan Agama ianya kini tidak seaktif dahulu lagi, kerana prosedur mahkamah yang rigid (sedang berlangsung kes mahkamah hingga masuk tahun 2018 adalah pertandingan Miss World yang digempur tanpa SOP di hotel Renaissance). Malah hampir tidak wujud lagi pertandingan seumpama ini di negeri-negeri lain. Kalau ada sekalipun ia tidak akan diwar-warkan secara terbuka atau diadakan di hotel selatan Thailand, untuk mengelakkan serbuan Jabatan Agama Islam.

Seperti yang sudah dikupas dalam Buku Mak Nyah, ianya antara jalan untuk para Mak Nyah bersosial sesama mereka selain dari bertanding cantik. Pertemuan antara Mak Nyah lama dan baru untuk tujuan bersiratulrahim. Di sini mereka mendapat informasi tentang apa-apa sahaja termasuk kesihatan dan hak sebagai warganegara.

Memasuki alaf baru, pihak NGO akan tampil memberi penerangan tentang ujian-ujian saringan HIV, STD (Sexually Transmitted Diseases) dan hal-hal guaman sebelum acara dimulakan. Pertandingan akan memilih lokasi yang lebih sesuai dan selesa tanpa niat menggangu orang awam. Selalunya didaftarkan sebagai majlis tertutup di hotel hotel besar.

Dengan beralihnya zaman, sejak tahun 90an ia menjadi satu bentuk perniagaan. Pihak pengurusan akan mengenakan yuran penyertaan. Mana-mana Mak Nyah boleh mengikuti pertandingan ini. Perserta boleh memilih negara atau negeri yang ingin mereka wakili. Mereka akan diuruskan sebaik mungkin dengan latihan pentas, tempat tinggal, selempang dan lain-lain lagi.

Bagaimana mereka berbikini? Merupakan persoalan orang awam. Peserta peserta dari tahun 80an tahu cara caranya. Berbikini untuk Ratu Mak Nyah di Malaysia sudah dihentikan pada tahun 1989. Pusingan hanyalah pakaian kasual/cocktail dress dan pakaian malam. Ada pertandingan yang lebih besar dan gah memperuntukan pakaian tradisional negara-negara yang diwakili, urutannya sama sahaja dengan pertandingan ratu cantik wanita cisgender (Malah kini jadi jauh lebih hebat dari pengurusan ratu wanita cisgender).

Pertandingan menjadi lebih sengit sekarang apabila semakin ramai kaum Mak Nyah yang sudah menjalankan proses Feminization wajah dan badan. Terdapat juga pertandingan di peringkat antarabangsa dianjurkan di negara jiran, namun ianya masih berlandaskan yuran penyertaan. Pemenang akan dinobatkan sebagai ratu dalam siaran langsung televisyen yang sarat dengan penaja-penaja besar di negara tersebut.

Di peringkat antarabangsa setakat ini, selaras masa dan kempen Human Rights. Dua perserta Mak Nyah dari Canada dan Sepanyol sudah menyertai pertandingan ratu cantik peringkat negara masing masing bersama dengan para cisgender wanita. Jenna Laktova dan Angela Ponce masing masing sudah memiliki identiti pengenalan sebagai wanita. Peserta dari Malaysia Nur Sajat dan Latieca Previna pernah mendapat top 10 dan hadiah subsidiari di peringkat antarabangsa. Nok Yolanda dari Thailand pernah ditahan polis setelah menang atas pemalsuan kad pengenalan diri sewaktu menyertai satu pertandingan ratu cantik wanita cisgender. Itu bukan kes baru terdapat juga kes-kes yang sama di serata dunia, termasuk peserta-peserta ratu wanita cisgender yang disiasat apabila disyaki mereka bukan wanita secara biologi.

Penulis yang sudah mengacarakan lebih dari 10 pertandingan ratu (temasuk ratu wanita asli) menyimpulkan bahawa ada kedekatan para Mak Nyah dengan hal-hal kecantikan dalam dunia mereka. Ianya mungkin impian masing-masing untuk menjadi ratu. Jadi inilah sahaja ruang untuk mereka merealisasikan impian tersebut. Kepada kamu mereka mungkin mengatakan ianya hanya untuk suka-suka, jauh di sudut hati ianya mungkin memberi makna yang besar, Wallahualam!

Jangan tidak tahu, terdapat ramai yang kecanduan pada pertandingan Ratu Cantik. Mereka suka untuk melihat, berkomentar, menganalisa dan berkomen, ianya satu kepuasan. Mereka ini termasuklah para Mak Nyah yang mula memasang impian untuk menjadi Ratu dan jangan terkejut sekiranya peminat pertandingan ratu cantik ini adalah orang-orang awam hetroseksual. Antara negara-negara yang taksub pada pertandingan ratu cantik adalah Filipina, Mexico, Thailand, dan negara-negara latin.

Penulis melihat kegiatan sosial ini sebagai sesuatu yang sihat untuk pertumbuhan manusia. Di sini para Mak Nyah akan mendapat pengalaman baru. Seni koreografi, pengurusan perserta, solekan pentas, penyediaan busana, public speaking, semangat kesukanan dan pelbagai pengalaman lain terutamanya ‘bagaimana berhubung sesama Mak Nyah’ dengan penuh adab dan sopan.

Sesekali sesama Mak Nyah mereka akan berjenaka, “bila nak masuk ratu yuran?”

~ ~ ~ ~ ~ ~

Regina Ibrahim sudah menulis beberapa buah buku tentang seksualiti antaranya “Perjalanan”, “Lebih Duka Dari Suka”, “Buku Mak Nyah” dan “Budiman”. Beliau adalah salah seorang penulis jemputan khas di George Town Literary Festival 2018, 22-25 Nov di Pulau Pinang.