Sans-serif

Aa

Serif

Aa

Font size

+ -

Line height

+ -
Light
Dark
Sepia

Perkahwinan Kanak-kanak: Berhenti berdolak-dalik, tangani isu tanpa alasan

Diterbitkan oleh Gabungan Organisasi Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG)

Kami bimbang dan memandang serius  kenyataan Dato’ Mohd Amar Abdullah, Timbalan Menteri Besar Kelantan pada 4 Julai 2018 mengenai  kekesalan beliau terhadap perkahwinan di bawah umur antara seorang lelaki berumur 41 tahun dan kanak-kanak perempuan berumur 11 tahun yang telah tular baru-baru ini. Beliau juga mengatakan bahawa ‘ isu zina, anak luar nikah, gay dan lesbian adalah isu yang lebih besar berbanding isu perkahwinan kanak-kanak. Baginya, isu perkahwinan anak  adalah tidak salah dari segi agama dan tidak patut diperbesarkan menjadi isu negara, benda ini adalah isu terpencil, bukan semua lelaki kahwin dengan budak berusia 11 tahun’.

Kami khuatir kenyataan sedemikian menunjukkan sikap tidak serius kerajaan negeri Kelantan dalam menangani isu perkahwinan kanak-kanak bawah umur yang sememangnya ialah satu isu kritikal yang memerlukan tindakan segera dan serius oleh kerajaan pusat serta kerajaan negeri.

Menurut kenyataan oleh Majlis Peguam Negara, antara tahun 2005 dan 2015, sebanyak 10,240 penduduk beragama Islam telah membuat permohonan bagi perkahwinan kanak-kanak di Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia. Manakala, antara  tahun 2000 dan 2014, 7,719 permohonan perkahwinan telah dibuat bagi kanak-kanak perempuan antara 16 dan 18 tahun bukan Islam.

Mengikut statistik global, jika tiada sebarang pengurangan dalam statistik bagi  perkahwinan kanak-kanak menjelang tahun 2050, sebanyak 1.2 billion kanak-kanak perempuan akan dikahwinkan.

Selain itu, Bernama telah melaporkan pada 4 Julai 2018 bahawa pernikahan antara lelaki berusia 41 tahun dengan kanak-kanak berusia 11 tahun itu tidak sah dan tidak mendapat kebenaran Majlis Agama Islam Narathiwat.

Justeru itu, ini bukanlah suatu isu yang terpencil  yang boleh dipandang remeh seperti yang didakwa oleh Dato Mohd Amar. Perkahwinan kanak-kanak merupakan suatu perkara yang memerlukan pendekatan yang menyeluruh sekaligus punca-punca yang menggalakan isu ini berterusan harus dikaji dengan teliti. Hal ini termasuklah isu kemiskinan, kurang pemahaman gender dan kurang keutamaan terhadap perlindungan hak kanak-kanak. Kahwin bawah umur memberi impak dari sudut kesihatan dan psikologi yang boleh menyebabkan kanak-kanak bawah umur terdedah kepada risiko keganasan dan penderaan. Tambahan pula, kahwin bawah umur akan menjejaskan peluang bagi kanak-kanak untuk mendapatkan pendidikan formal sekaligus membebankan mereka dengan kerja-kerja dan tanggungjawab  rumahtangga yang mereka tidak mampu jalankan.

Turut membimbangkan, isu berkenaan zina dan LGBT digunakan untuk mengalihkan perhatian orang awam dari isu utama di sini, iaitu isu perkahwinan kanak-kanak. Cubaan kerajaan negeri untuk berdolak dalik dan menjadikan isu-isu zina dan LGBT sebagai kambing hitam kepada isu sebenar hanya akan menyumbang kepada stigma dan salah faham masyarakat terhadap isu yang sebenar.

Kerajaan negeri dan kerajaan pusat harus bertanggungjawab  dalam menegakkan dan melindungi hak kanak-kanak sekaligus meletakkan kepentingan dan keperluan kanak-kanak sebagai keutamaan. Ini adalah selaras dengan tanggungjawab Malaysia sebagai negara yang telah meratifikasikan  Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC)  JAG juga menyokong cadangan Majlis Peguam dalam penubuhan Suruhanjaya Kanak-Kanak yang melaporkan terus ke Parlimen dengan kuasa untuk menangani isu perkahwinan kanak-kanak dan perkara-perkara lain yang berkaitan dengan kanak-kanak.

Gabungan Organisasi Wanita Bertindak bagi Kesamarataan Gender (JAG):

  1. Justice for Sisters
  2. Association of Women Lawyers (AWL)
  3. All Women’s Action Society (AWAM)
  4. Persatuan Kesedaran Komuniti Selangor (EMPOWER)
  5. Persatuan Sahabat Wanita (PSWS)
  6. SAWO (Sabah Women’s Action Resource Group)
  7. Sisters in Islam (SIS)
  8. Women’s Aid Organization (WAO)
  9. Women Center for Change (WCC)