Sans-serif

Aa

Serif

Aa

Font size

+ -

Line height

+ -
Light
Dark
Sepia

Siapakah Yang Memperjuangkan Hak-Hak Pekerja Seks? Siri Pekerja Seks Queer Lapis Bhg 2

Oleh VINODH PILLAI | 11 Dec, 2020

Sebagai satu-satunya aktivis pekerjaan seks di Malaysia, Selvi berdepan perjalanan sukar untuk meningkatkan kualiti kehidupan rakan-rakan seangkatannya di sini. Pekerja seks di Malaysia hari ini—dianggarkan sekurang-kurangnya 22,000 orang—terpaksa melalui situasi di mana keluarga atau rakan tidak mengetahui pekerjaan mereka. Mereka berdiam diri bagi mengelak diusir dari rumah atau lebih buruk lagi, diangkut oleh polis atau pihak berkuasa agama.

Akibatnya, tiada seorang pun yang mahu mengaku dirinya sebagai pekerja seks. Ini menjadikan kerja jaringan dan aktivisme lebih sukar.

‘Ini muka lama selalu juga’ 

Menurut Selvi, setiap kali dia memperjuangkan hak pekerja seks, petugas dari Kementerian Kesihatan Malaysia akan berkata kepadanya, “Ini muka lama selalu juga,” dia bercerita sambil ketawa. “Ini masalahnya. Mereka sudah tahu, mereka datang dan tangkap kita dan kemudian mereka masukkan pekerja seks ke dalam penjara. Itu masalah bagi mereka juga.”

Menjadi satu-satunya penyokong pekerja seks bermakna selalu adanya jurang dalam sokongan. Sebagai contoh, Selvi tahu perkara sukar bagi pekerja seks di sini semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi belum pernah mendengar ada sesiapa yang mempunyai COVID-19 atau ditangkap semasa PKP.

“Mungkin ada (kes seperti itu) tetapi kita tidak tahu. Mereka yang bekerja di kawasan ini, mereka mengenali saya. Saya membantu, mereka akan menghubungi saya. Beberapa NGO kenal saya, mereka beritahu saya, ada yang sakit, mereka beritahu saya,” katanya sambil menjelaskan dia kadang-kadang pergi ke mahkamah untuk bersama dengan pekerja seks atau ke lokap polis jika mereka ditangkap.

Kadang-kadang Selvi mengajak masyarakat turut serta dalam acara Hari Pekerja dengan mengatakan “Hari Pekerja untuk hari pekerja seks juga”. Kemudian ada juga Hari Hak Pekerja Seks Antarabangsa yang disambut di peringkat antarabangsa pada 3 Mac. “Tetapi suara saya sahaja,” kata Selvi, “orang ramai tidak datang dan muncul dan lihat. Itulah masalahnya.”

Selvi
Moral dan nilai ‘tradisional’

Walaupun kami masih jauh untuk melihat gabungan pekerja seks yang besar, sudah ada beberapa tokoh terkenal lain sudah berada di tempat acara. Salah seorangnya adalah penyokong hak transgender dan pekerja seks yang dihormati di peringkat antarabangsa, Khartini Slamah.

Kak Tini, seperti yang kita kenal, berperanan dalam membentuk jaringan untuk komuniti transgender pada lewat tahun 1980-an yang dikenali sebagai Persatuan Mak Nyah Wilayah Persekutuan yang terdiri daripada 90% pekerja seks. Pada mulanya ia ditubuh oleh komuniti transgender untuk memahami masalah mereka sendiri. Bagaimanapun, kumpulan itu mengalami masalah dan terpaksa ditutup kerana disyaki mendorong seks atau “menggalakkan maksiat”.

Pandangan mengenai moral tidak terhad hanya kepada generasi tua. Pandangan konservatif mengenai seks, pekerjaan seks, wanita dan golongan LGBTQ+ akhirnya makin kuat dalam masyarakat, menjadikannya lebih sukar dirombak oleh mereka.

Rajsurian Pillai, seorang peguam jenayah yang sering mewakili pekerja seks dalam prosiding mahkamah, mempersoal jika institusi-institusi kita bersedia untuk menerima bahawa undang-undang perlu diubah. Dia pesimis dalam hal ini melihatkan mereka tegar mempertahankan tradisi dan “nilai-nilai Asia“. Bercakap mengenai seks itu sendiri sudah menjadi tabu bagi orang Asia, apatah lagi menghalalkan pekerjaan seks, katanya.

Pandangan ini ditambah dengan andaian dan kurangnya kejelasan mengenai haramnya pekerjaan seks di Malaysia. Rajsurian berkata undang-undang itu sendiri tidak menyatakan bahawa pelacuran adalah haram, tetapi mencari pelanggan bagi tujuan pelacuran adalah satu jenayah. Dia merujuk kepada Seksyen 372B Kanun Keseksaan. Sesiapa yang ditangkap kerana disyaki melakukan pekerjaan seks biasanya didakwa di bawah Seksyen 372B dan boleh dikenakan hukuman penjara sehingga satu tahun, denda atau kedua-duanya.

Menurut Rajsurian, biasanya “ia adalah polis yang menyamar sebagai pelanggan. Dia akan (memberi keterangan di mahkamah dengan berkata): ‘Saya sedang berjalan. Dan kemudian wanita ini menahan saya, dan dia menawarkan seks’. Biasanya, perkataan begini diucapkan: ‘Hai abang, nak main ke? Seratus ringgit sejam atau RM50 sejam’. Selepas itu, polis dan ejen provokasi akan menangkap orang itu, memperkenalkan dirinya sebagai polis dan mengatakan bahawa anda melakukan jenayah kerana mencari pelanggan untuk tujuan pelacuran.”

Setelah direman di mahkamah, kebanyakan mereka mengaku salah dan membayar denda antara RM1,500 hingga RM2,500. Hal ini terjadi sejak awal, menurut Kak Tini dan Selvi, tetapi kadar denda ini malah jauh lebih rendah sebelum ini.

“Biasanya, kebanyakan individu yang didakwa di bawah 372B tidak mampu membayar peguam untuk melawan kes ini atau tidak mahu menjalani perbicaraan yang sulit, yang kadang-kadang akan memakan masa lebih dari setahun,” kata Rajsurian. “Jadi itu bukan sesuatu yang ingin dilalui kebanyakan pekerja seks.”

Rajsurian

Sekiranya seorang pekerja seks membela diri di mahkamah, kemungkinan mereka harus menceritakan secara terperinci apa yang berlaku pada malam mereka ditangkap. Bagi Rajsurian, ini bermasalah kerana beberapa sebab. Pertama, pekerja seks itu mungkin tidak mempunyai saksi lain untuk menyokong ceritanya. Kemudian rekod penangkapan mereka didedahkan yang mungkin memalukan kes mereka; ketika di mahkamah, mereka harus menjelaskan mengapa mereka berjaga kira-kira jam 2 pagi dan berada di lorong sunyi.

Kemudian mereka ada risiko ditangkap. Dan jika mereka transgender? Bayangkan anda dimasukkan ke dalam penjara lelaki atau wanita yang tidak sesuai dengan jantina yang mereka. Inilah sebabnya mengapa pekerja seks mengaku bersalah dan membayar saman.

Menariknya, seksyen sebelumnya, Seksyen 372A Kanun Keseksaan, menjenayahkan mereka yang mengupah seseorang untuk tujuan pelacuran—seperti bapa ayam—tetapi jarang orang seperti itu ditangkap, berdasarkan pengalaman enam tahun Raj mewakili pekerja seks. Ini kerana lebih sukar untuk membuktikan seseorang mencari pendapatan yang diperoleh daripada perniagaan memperdagangkan pekerja seks.

Apa yang selalunya lebih mudah adalah menangkap pekerja seks.

Menuju ke hadapan

Selvi dan Kak Tini percaya pekerjaan seks di Malaysia harus dihalalkan. Belajar dari amalan terbaik negara lain, di mana pekerjaan seks disahkan atau dihalalkan, mereka berharap langkah seperti ini dapat membantu menjadikan kehidupan pekerja seks di Malaysia menjadi lebih mudah.

“Malaysia adalah teruk bagi pekerja seks,” kata Selvi. “Saya pergi ke Kolkata, India. Pekerja seks di sana cukup kuat—suami, ahli keluarga dan orang ramai semua memberi sokongan. Itulah sebabnya mereka kuat. Bahkan pegawai polis tidak boleh masuk ke tempat mereka. Mereka juga mempunyai, seperti, pemimpin kesatuan.”

Kak Tini percaya kerajaan tidak akan menghalalkan pekerjaan seks. Itulah sebabnya dia mengubah strategi untuk menyokong isu pekerja seks sebagai isu wanita—logiknya adalah warganegara wanita juga mempunyai hak untuk kesihatan, pendidikan, pekerjaan dan sebagainya. “Jadi saya mengubahnya seperti ini kerana tidak ada gunanya saya menjerit sedangkan pekerja seks itu sendiri tidak keluar,” tambahnya.

Kak TIni

Bagaimanapun, menghalalkan aktiviti mencari pelanggan untuk tujuan pelacuran—Seksyen 372B Kanun Keseksaan—tidak mudah. Sebagai contoh, pengujian kes diperlukan, dan itu bererti seseorang yang didakwa di bawah undang-undang harus membawa cabaran undang-undang ke mahkamah dan ia sampai ke pengadilan tertinggi negara ini: Mahkamah Persekutuan.

Menurut Rajsurian, cabaran harus berdasarkan pada asas bahawa undang-undang itu bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan oleh sebab ia tidak berperlembagaan, ia adalah salah dan bahkan tidak seharusnya wujud—perbicaraan akan berlangsung selama bertahun-tahun. Buat masa ini, Rajsurian percaya “tidak ada seorang pun individu dari parti politik yang berbeza akan memperjuangkan menghalalkan pekerjaan seks”.

Inilah sebabnya mengapa mereka yang menolong pekerja seks dan memberikan bantuan untuk kehidupan dan kesihatan mereka harus melakukannya dengan “cara diam-diam”.

“Kerana pada saat anda mula mendedahkannya secara terbuka,” Rajsurian melanjutkan, “Rakyat Malaysia akan katakan, ‘Ah, anda mendorong pekerjaan seks’. Apa yang masyarakat tidak faham adalah kebanyakan mereka yang melakukan pekerjaan seks melakukannya kerana mereka tidak pilihan lain—mereka dipinggirkan masyarakat, tidak ada pilihan lain atau kerana ini adalah satu atau dua jalan keluar daripada kemiskinan.

Jadi, mengapa pekerja seks diberi stigma dan didiskriminasi bagi pekerjaan yang mereka lakukan? Apakah cara terbaik untuk menghubungkan para pekerja seks ini? Dan apakah cabaran-cabaran tertentu yang dihadapi oleh pekerja seks dalam norma baharu ini? Pastikan anda menyemak kisah bersiri pekerjaan seks kami yang lain untuk mengetahui lebih lanjut mengenai realiti hidup mereka!

Baca siri pekerjaan seks kami yang lain di sini.

Nota penyunting: Sejumlah bilangan pembaca kami bertanya kenapa kami sertakan payung-payung merah dalam siri pekerja seks kami. Sebenarnya payung merah sudah lama dianggap sebagai simbol gerakan hak-hak pekerja seks sedunia. Kisahnya, para pekerja seks telah berkumpul dalam sebuah majlis tentang pekerjaan seks di Venice, Itali, semasa Venice Biennale of Art yang ke-49, pada 2001. Pekerja seks ini telah berarak melalui jalan-jalan raya pada hari itu, dan mereka memegang payung-payung merah. Sebahagian berpendapat rasional kepada ini adalah mereka lebih menyerlah dengan warna merah tersebut dan boleh dibezakan dengan para pelancong. Selain itu ada yang memetik kaitannya warna merah dengan cinta dan bagaimana payung-payung melindungi manusia.

~ ~ ~ ~ ~ ~

Vinodh Pillai adalah seorang penulis isu-isu LGBTQ+.

Projek ini adalah kerjasama antara Vinodh Pillai, Queer Lapis dan Projek Dialog.

Ilustrasi oleh Art.Zaid.

Disunting oleh Pang Khee Teik, Thilaga, Ryan Ong dan Salami.

Diterjemah oleh Itawaliz Luziza.