Panca
Oleh Shamrizan | 11 Januari 2020
Suria
Di saat suria menyinar
Di setiap hening dan fajar
Saat itu aku membuka mata
Atau aku menutupnya
Maka
Hari demi hari
Malam berganti siang
Pejam dan celik menjadi tanda
Esok aku bangun lagi
Pena
Jadi aku angkat
Mata pena
Aku cucuk ke lengan
Dan aku karang segala ayat
Segala kata
Dengan dakwat berwarna merah
Aku luah segalanya yang
Aku pendamkan
Dalam kata-kata pujangga
Bintang
Pernah aku bermimpi
Apa aku boleh menjadi bintang?
Kalau aku jadi bintang
Apa aku akan diterima?
Disuka?
Dirai?
Apa aku akan dirindui di waktu siang
Buat mereka ternanti malam?
Kalam
Jadi aku bukukan
Setiap pujangga
Bait perasaan dan runtun
Saat aku menemui
Diri aku yang sebenar
Saat aku menemui
Apa maksudnya menjadi diri ini
Saat aku menemui
Badan ini cuma jasad
Saat aku menemui
Hati ini punya hasrat
Yang mungkin tidak
Sama dengan hasrat tabii
Wulan
Wulan aku rindu
Aku rindu diri aku
Aku rindu diri aku
Aku rindu diri aku
Wulan aku rindu
Aku rindu dia
Dia, ya dia
Dia yang aku tak akan pernah
Miliki tapi akan ku tetap sayang
Wulan aku benci
Aku benci diri aku
Aku benci diri aku
Aku benci diri aku
Kerana menyukai dia
Jadi aku tinggalkan
Kerana Wulan
Wulan aku sayang
Aku sayang diri aku
Aku sayang diri aku
Aku sayang diri aku
~~~
Shamrizan, seorang pelukis dan pemuitis bebas. Pembikin cerita pada karyanya, berselit pujangga-pujangga picisan. Karya beliau boleh dilawati di akaun Instagram @shamrizan.