Sans-serif

Aa

Serif

Aa

Font size

+ -

Line height

+ -
Light
Dark
Sepia

Mimpi Harapan Yang Kusut Karut

Oleh AIMAN AZAHARI.

Seminggu, saya terdampar dirumah akibat demam panas, selsema dan sakit kerongkong yang teruk. Baru semalam suara saya kembali tapi itupun masih serak dan garau. Seminggu, saya berkomunikasi dengan Ibu dan adik-adik melalui isyarat tangan ataupun mesej teks di Whatsapp. Bila hilang suara semacam itu, baru sedar betapa besarnya nikmat bersuara. Betullah, kadang-kadang perlu saya berhenti dan tanyakan pada diri, nikmat mana lagi yang saya dustakan.

Seminggu ini juga macam-macam yang berlaku. Seorang kenalan yang bertungkus lumus berkempen untuk seorang calon muda sehingga dianya menang kerusi parlimen dan diangkat ke jawatan menteri terpaksa melepaskan jawatan setelah macam-macam tomahan busuk dilemparkan kerana orientasi seksualnya dan kerja-kerja aktivisim yang dijalankan sebelum ini. Seorang lagi kenalan dipanggil polis untuk siasatan kerana ada pihak yang membuat laporan terhadap catatannya mengenai Institusi Istana. Tuduhan yang dilaporkan – dia cuba menghasut dan menanam rasa benci pada sistem beraja.

Dalam seminggu ini juga kerajaan berdolak dalih dalam hal perkahwinan antara lebai 41 tahun dengan anak kecil 11 tahun. Lebai ditempekkan dengan saman semurah talifon bimbit, tanpa apa-apa tindakan lain dari kerajaan untuk membantu dan menyelamatkan anak kecil itu pemangsanya, kerana dari perspektif syarak mereka suami isteri yang sah. Huh, mudah alasannya.

Ketua Hakim Negara yang baru selesai angkat sumpah juga dalam minggu ini. Orangnya bumiputra, graduan UiTM, dan Kristian. Oh ya, jadilah modal pemangsa diri untuk taburkan fitnah yang ini semua bukti konspirasi untuk meng”Kristian”kan Malaysia.

Bergaung bergegar serata medsos dengan suara-suara mereka yang menyokong dasar diskriminasi, kerabat istana dan pernikahan anak kecil dengan lebai tua. Bertakek, berhunus, parang keris realiti maya sepelosok Malaysia. Kononnya bangkit untuk mempertahankan institusi beraja dari seorang peguam Melayu Muslim bertudung yang menyatakan pendapatnya sendiri. Kononnya bangkit untuk menyelamatkan Malaysia untuk kekal Islam dari konspirasi yang tidak pernah wujud.

Mamai dan mabuk dari ubat yang saya telan, ada harinya saya rasakan yang saya terperangkap dalam satu mimpi surealis – Kumpulan monarkis dan Islamis yang hipokrit dari kelompok majoriti memangsakan diri sebagai minoriti dan mencipta konspirasi palsu supaya mereka dapat memekik, mololong cuba melawan jembalang yang tidak wujud. Tapi ternyata saya bukan dalam mimpi bila datang rasa sakit ketika hendak menelan makanan. Masakan dalam mimpi boleh rasa sakit yang nyata, kan?

Kerajaan baru sebagai pemerintah boleh sahaja mengharamkan perkahwinan kanak-kanak jika mereka betul-betul berkehendak. Yang jadi penghalang sekarang adalah dengan mengambil langkah mengharamkan perkahwinan itu, kemungkinan besar mereka akan hilang modal untuk melawan musuh politik mereka. Begitu juga dengan menghapuskan dasar diskriminasi dalam pekerjaan. Boleh sahaja menteri muda itu bangkit menyatakan sokongan pada “sahabat”nya yang bertungkus lumus memerah keringat untuk memastikan kemenangannya dalam pilihanraya yang lalu. Boleh saja dia nyatakan yang sahabatnya itu bukan sahaja seorang yang cerdik pandai, tetapi juga layak dan mampu untuk memberi khidmat pada masyarakat dan negara. Kenapa harus ditidakkan kepandaiannya, kesungguhannya, keluhurannya, keikhlasannya, kemanusiaannya? Kenapa dia harus dinilai pada orientasi seksualnya sahaja? Makanya, Malaysia hilang satu lagi otak geliga yang mampu berkhidmat untuknya.

Dari mana datang ketakutan yang kononnya institusi beraja akan musnah hanya kerana satu catatan dari seorang anak muda? Benar, dia bukan seorang, saya juga tidak menyokong institusi beraja, dan saya percaya ada lagi mereka yang lain turut serta tidak menyokong, tapi itukan norma dalam mana-mana negara. Ada pihak yang menyokong monarkis, ada yang tidak. Ini ternyata bukan sahaja di Malaysia, tetapi juga di Thailand, di Brunei, hatta di England.

Tidak menyokong institusi beraja tidak bermaksud kami tidak hormat pada perlembangaan negara, yang secara nyata melampirkan Malaysia sebagai satu negara demokrasi yang mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan. Institusi beraja akan kekal selagi mana Perlembagaan Persekutuan tidak diubah, dan sebagai “safety net” tambahan, apa-apa perubahan atau perbincangan yang mahu diusulkan dalam parlimen yang berkaitan dengan Institusi Raja-raja Melayu, Agama Islam, dan kedudukan istimewa Orang Melayu perlu mendapat persetujuan baginda-baginda Sultan. Jadinya satu catatan blog tidaklah akan memberi kesan kudis pun pada baginda-baginda Sultan mahupun kedudukan Agama Islam sebagai agama persekutuan. Jadi dari mana datangnya ketakutan ini?

Sebagai negara bebas berdaulat, rakyat Malaysia sepatutnya bebas menyuarakan pendapat. Kebebasan bersuara bukanlah lesen untuk membuat fitnah dan menyemai rasa benci. Kebebasan bersuara seharusnya berpaksikan fakta dan yang pertelagahan datang dari pemahaman ideologi yang matang, dan bukannya momokan palsu.

Saya kagum dan hormat dengan manusia seperti Numan dan Fadiah. Mereka berdua adalah antara manusia yang memberi inspirasi dan keberanian untuk saya bersuara. Mereka berdua mengingatkan saya pada pepatah berani kerana benar. Mereka cerdik, pandai, rajin, tidak lokek membantu, dan berani.

Kesedaran (consciousness) berevolusi dari persoalan-persoalan yang tidak direka untuk dijawabkan oleh pilihan semula jadi (natural selection), maka kebenaran (truth) itu wujud diluar batasan darwinian. Dunia tidak dibentuk seperti yang kita sangkakan, dan tidak ada seorang pun yang melihat dunia dalam kaca mata yang sama, kita melihat dunia dalam kaca mata kita sendiri.

Untuk manusia seperti saya yang jelak dengan naratif kebencian, kami akan bangkit untuk mengambil balik naratif itu supaya ianya tidak kekal buruk, tapi bagaimana hendak dibawa berbincang dalam keadaan yang penuh kekarutan?

Manusia seperti Fadiah, Numan, saya dan ramai lagi boleh sahaja mengartikulasikan pendapat kami seteguh-teguhnya, tapi secara realiti, berapa ramai yang boleh diubah cara pemikirannya hanya melalui perbincangan? Maka, dialog perbincangan ini bukannya untuk kamu atau mereka, ianya untuk kami sendiri. Supaya kami dapat memahami kekarutan dan kekusutan yang terus menerus ini.

Yang penting, kita mampu setuju untuk tidak setuju, dengan hormat, dengan nilai-nilai kemanusiaan. Seberapa lama lagi hendak kita hidup dalam ketakutan? Seberapa lama lagi hendak kita hidup dalam fitnah dan benci? Tidakkah ada rasa penat, rasa lelah, rasa jelak?

Setebal itukah kebencian yang tertanam? Sehinggakan tidak mampu untuk melihat walau secebis pun kebaikan? Nikmat mana lagi yang mahu kita terus dustakan.

#DontCallMeBro #BerdiriBersamaNuman #HapusAktaHasutan#BerdiriBersamaFadiah #HapuskanPerkahwinanKanankKanak#KebebasanBersuara #HapusPolitikBenci