Sans-serif

Aa

Serif

Aa

Font size

+ -

Line height

+ -
Light
Dark
Sepia

Merah Jingga Kuning Hijau Biru Ungu

Cerpen oleh ZEDECK SIEW. Diterjemahkan dari Bahasa Inggeris oleh Zed Adam Idris. Illustrasi oleh Shika Corona.

+

Pada malam yang kau mimpi, kau nampak suatu rupa yang muncul dari laut, muncul dengan gemilang.

Dia melayari gelombang dan mendarat ke pantai. Sebaik kakinya menginjak pasir, retakan kedengaran, macam kaca pecah. Matanya tertutup. Pipi merah. Bibir terlakar senyuman halus.

Tangan kanannya tertampung sebiji limau bali, kulit terkupas semekar teratai, isi merahnya tersembul keluar. Di tangan kiri pula sebilah keris tajamnya menunduk dan menitik basah.

Matanya tertutup. Dia berjubahkan satin yang bergemilapan, beralun-alun dilimpahi warna merah saga, jambu koral, emas, hijau lumut, biru laut dan ungu nila. Sekuning suria.

Kau cuba berselindung di sebalik batu tongkol di pantai. Matanya masih tertutup. Tapi kau masih rasa kau diapit pandangannya. Dia nampak tembus batu, nampak tembus kau. Sebentuk bintang tersemat di dahinya. Ia menyala macam lampu neon kedai lorongan pada waktu malam.

+

Esok paginya kau rasa macam tak boleh tumpukan perhatian.

Kau lupa tarik handbrake. Kereta yang kau sedang baiki menggelongsor ke belakang, terus meluncur keluar dari bengkel—kau kejar dan sempat hentikannya sebelum ia terus menyusuri ke roundabout.

+

Di Kopitiam Soon Heng, makan tengahari pun boleh jadi luar biasa suramnya. Kau bersendirian, mengelamun sambil menyudu sup. Pemborong Sim dan adiknya duduk di meja sebelah kau. Mereka makan dengan senyap tapi tak lama.

“Aku dan Ah Girl bermimpi semalam,” ujar pemborong Sim.

“Mimpi? Aku pun!” adiknya balas.

Desingan bising beberapa kerusi plastik sekaligus berpusing ke arah meja mereka.

“Ada lelaki tua dalam mimpi kau tak?” Pemborong Sim menyoal adiknya.

Isteri si Taukeh mengangkat tangan dan menjawab, “Ada!”

“Dia muncul dari laut kan?” tambah Kakak Chin. “Ya, aku nampak.”

“Ada bintang kat dahi dia,” dedah si lembut Khoo.

“Siapa dia?” kau tanya.

“Dia tu Datuk,” jawab adik pemborong Sim.

“Ya, dia Datuk,” Kim, isteri si Taukeh sambut. “Datuk Laksamana. Macam yang kat bawah pokok besar kat roundabout tu.”

“Baju dia warna-warni, macam pelangi,” kata si lembut Khoo.

“Apa kita nak buat?” kau tanya. “Aku mimpi dia jugak.”

Makcik Hong melibas tangannya ke atas meja—krrek!—hentakan yang menggetarkan sudu dalam barli ais kau. “Korang ni orang muda,” katanya. “Tak boleh pakai. Kami dah mimpi benda ni. Takde pilihan dah! Kau nak dewa murka kat kau?”

“Apa kita boleh buat?” soal Kim, isteri si Taukeh.

“Tak boleh nak buat apa dah,” jawab Makcik Hong. “Kita kena jugak buat dan munculkan dewa tu.”

+

Bilik menunggu di kilang itu berhawa dingin dan dihiasi dengan sofa kulit palsu. Kau berdiri. Dindingnya dipenuhi dengan gambar—si pembikin dewa bergaya dengan sami-sami dan menteri-menteri.

“Selamat datang semua,” pembikin dewa menyambut. Badannya berisi. Rambut diminyak rapi. Telefon tersemat di pinggang.

Dia menunjuk ke senarai harga. “Zaman sekarang ni standard kaca gentian. Kami ada banyak pakej. Kalau nak buat dewa baru, saya syorkan pakej Golden Premium.” Dia tunjuk. “Ini tahap permulaan. Lepas setahun dua nanti boleh naikkan ke pakej Fortune Premium pulak.” Dia tunjuk lagi.

+

Pembikin dewa keluarkan borang. “Okay. Lelaki atau perempuan?”

“Lelaki,” jawab Kim, isteri si Taukeh—sebaik saja si lembut Khoo mencelah, “Perempuan.”

Pembikin dewa pandang ke kiri, kemudian ke seorang lagi. “Kalau macam tu,” katanya sambil memandang si lembut Khoo, “kami memang buat jenis lelaki-perempuan ni, kami bahagikan dua di tengah. Tapi jenis ni selalunya daripada seleksi Hindu kami.” Dia pandang ke Kim, isteri si Taukeh. “Mahal sikit yang macam ni.”

“Lelaki je boleh dah,” kata pemborong Sim.

“Berdiri ke?” tanya pembikin dewa, dan kamu semua angguk. “Berdiri atas apa?”

“Harimau,” jawab Kakak Chin.

“Dia pegang?”

“Keris,” jawab pemborong Sim. “Dan buah limau bali,” sambut adiknya.

“Takde tongkat? Atau songkok?”

“Ada,” kau jawab.

“Ada bintang kat dahi,” tambah Kakak Chin.

Pembikin dewa mengangguk mencatit nota. “Okay, nak warna apa? Selalunya bergantung kepada bangsa dia. Kalau dewa kamu Melayu, pakaiannya kami warnakan hijau. Kalau India, kami gelapkan kulitnya.”

Dia pandang ke Kim, isteri si Taukeh yang hanya menggeleng.

“Pakaian dia kena warna-warni macam pelangi,” ujar si lembut Khoo.

“Oh?” terangkat kening si pembikin dewa. “Warna pelangi macam bendera Buddha? Biru-kuning-merah-putih-jingga?”

“Tak,” jawab pemborong Sim. “Warna-warni yang macam pelangi lah. Merah-jingga-kuning-hijau-biru-ungu.”

+

Pembikin dewa tak henti mencatit—catit, catit, catit. Sambil kusyuk mencatit dia berkata, “Menarik ni. Tak pernah kami buat dewa warna-warni macam pelangi.” Kepalanya kemudian tercacak macam ilham baru tiba.

“Sekarang ni warna pelangi agak kontroversi,” katanya.

“Kontroversi?” tanya Makcik Hong.

“Benda LGBT tu,” jawab pembikin dewa.

“Oh yelah, benda gay-gay tu,” tambah Kakak Chin.

“Gay-gay?” kata pemborong Sim. Dua kali dia menyiku si lembut Khoo. “Benda kau lah ni, kan?” Si lembut Khoo memandang bisa, matanya setajam besi panas. “Maaf,” pemborong Sim mengaku.

“Kena jugak warna pelangi,” kau cakap.

“Tapi bukan warna pelangi je,” jawab si lembut Khoo. “Baju dia jugak dirapikan dengan kemasan alur warna biru muda, merah jambu dan putih.”

Yang lain mengangguk setuju. Adik pemborong Sim berkata, “Ha tengok? Takde masalah pun. Tambah merah jambu dengan putih tak semestinya ada kaitan dengan benda LGBT tu. Benda kita benda lain!”

+

Minggu kemudiannya, selepas kehadiran dewa baru, bengkel kau dikunjungi tiga orang.

Pakcik Rawa, pengunjung pertama. Dia menolak motornya naik ke bengkel. Enjinnya mati. “Motor saya ni,” katanya, “susah nak hidup.”

Kau tanggalkan palam pencucuh, Pakcik Rawa nyalakan rokok. Dia menunjuk ke jalan, ke arah pokok ara yang tinggi meredup menutupi cahaya petang, ke arah keramat kecil yang baru. “Merah jambu. Cantik warna tu. Baru cat ke?”

Kau kesat tangan ke baju, kau angguk.

“Ada patung baru kat dalam?” dia tanya. Kau angguk.

Pakcik Rawa hembus asap rokok. Datangnya dia dari kampung Melayu seberang jambatan. Orang cakap dia bomoh. Kadang kala dia keluar ke bandar; orang kaya bayar dia untuk elakkan hujan.

“Diorang ni penjaga,” dia hembus berkata. “Diorang jaga tanah, jaga air. Kami tak boleh dah nak main-main diorang ni. Tak patut pun. Haram ni kalau ikut agama. Semua ni syirik. Karut.”

Kau tiup kuat salur tangki minyak, lebih kuat daripada yang perlu.

“Jiran saya mengadu mimpi macam-macam,” kau dengar Pakcik Rawa. Kau duduk memandangnya. Dia menjetik abu rokok, merenung matahari terbenam.

Kau mulakan motor, kau putarkan pendikit; enjinnya meraung sebelum bergetar stabil. “Salur minyak dia tersumbat,” kau cakap. “Okay dah ni.”

“Terima kasih,” jawab Pakcik Rawa. “Sebab catkan warna tu.”

+

Tetamu kedua memandu kereta Mini mewah yang tak pernah masuk kawasan sini—budak-budak di sekitar tak lekang memandangnya.

Tuan kereta memakai kacamata hitam. “Saya tengah buat road trip, lalu jalan dalam kat Semenanjung ni. Setakat ni semua baik tapi hari ni pulak tayar nak pancit.”

“Baby, baby!” jerit teman wanitanya dalam pelat Inggeris. “Sini lah, sini!”

Wanitanya dah pun lintas jalan sampai ke teduh redup pokok ara. Lelakinya datang, mereka meninjau keramat kecil itu—buah oren, buah pinang, rokok daun; rendang daging yang Kakak Chin masak tersimpan elok dalam bekas untuk elak lalat.

“Oh, my god!” teriak si lelaki.

“Kan? Kan?” wanitanya setuju.

Dengan keramat itu mereka bergaya-gaya, selang tiga saat setiap tangkapan kamera. Kemudian, “I pulak, I je,” minta si lelaki. Dia berdiri di depan keramat sambil menapak kedua belah tangan di tepi muka, mulut ternganga berkononkan kejutan.

Kau nampak muka lelaki Mini itu lagi, dua hari kemudian, di media sosial, dalam satu status yang disebarkan oleh Oriental Press. Mata buntang, gigi putih. Belakangnya berdiri kecil si dewa baru, gemilang dengan warna-warninya.

Di bawah gambar tersebut terbaca: “OMG LGBT DATUK KONG!”

Kaunter kecil di bawah menunjukkan gambar itu sudah disebarkan sebanyak 17.4K kali.

+

Tetamu ketiga ialah seorang wartawan daripada Oriental Press: berkacamata, senyuman lebar untuk tampak mesra; reaksi yang pantas, tag wartawan terkeluar; sangat dahagakan berita sensasi.

“Maaf, encik,” wartawan itu menyapa. “Encik, boleh saya tanya mengenai…”

“Tiada komen,” kau jawab.

Rakan wartawannya yang lebih berumur juga berada di situ, dia lebih cepat menghidu sasaran yang lemah. Dia mengendeng ke arah si lembut Khoo yang cuba menjauhkan diri. “Tiada komen,” terus si lembut Khoo berkata.

“Apa pendapat encik bila orang cakap isu Datuk Kong ni semuanya adalah strategi dan agenda LGBT untuk mempromosikan gaya hidup mereka?

“Hei,” kejar Kim, isteri si Taukeh. “Hei!”

“Encik, apa pendapat encik?”

Kim, isteri si Taukeh, menyambar lengan wartawan itu. “Woi! Jangan kacau dia lah!”

“Encik…”

“Jangan kacau dia, kau paham tak?” teriak Kim, isteri si Taukeh. “Kau tanya aku! Ada benda aku nak cakap. Takde siapa pun kat sini yang ada kaitan dengan kumpulan LGBT tu. Dengan gay-gay. Okay?”

Seorang lagi wartawan Oriental Press dah terkeluar nota kecilnya. Seorang lagi lari masuk dengan video kamera sedia untuk merakam. Kedua-duanya tertumpu pada Kim, isteri si Taukeh.

Kim melaung sekuat-kuatnya, sebagaimana kuatnya seorang isteri taukeh boleh melaung. “Orang lain tu semua tak tau apa yang diorang cakap,” katanya. “Ini tempat kami. Dewa kami. Kau boleh berambus! Biarkan kami! Jangan kau datang lagi tuduh kami macam-macam!”

+

Si lembut Khoo memang benar seperti gelarannya. Kau jumpa dia terduduk di tangga di belakang kedai, menangis. Kau duduk sebelah dia.

Kau tunggu. Selepas beberapa sentakan sedu dan tarikan hingus, dia berhenti. “Taklah seteruk mana, kan?” kau cakap.

“Jadi lagi teruk nanti,” katanya. Kau tak tau nak balas apa, jadi kau apitkan tangan kau atas bahunya.

+

Malam itu, walaupun si lembut Khoo berdengkur sebelah kau, kau lelap juga. Dan kau bermimpi. Kau mimpikan suatu rupa yang muncul dari laut.

Dia muncul dengan penuh gemilang. Jubahnya satin yang lembut berolak seperti sirip ikan gourami, seperti panji. Merah delima dan jingga emas, merah darah dan hijau zamrud, biru langit dan lembayung.

Bintang putih bercahaya. Matanya tertutup. Bibir delima. Pipi semangat meniup bayu. Dia melayari gelombang, menerjah ke pantai. Gemuruh seakan petir. Pasir memejal, mengeras. Konkrit meretak.

Matanya tertutup. Kau dapat rasakan pandangannya tembus kau. Cuma kali ini, kau tidak lagi menyorok. Tiada makna lagi untuk berselindung. Kau melangkah keluar dari sorokan batu. Kau tunduk hormat. Kau terus melutut.

Di tangan kanannya terpaut sebiji telur lutsinar, menyala seperti biji meriam yang panas, yang dilingkari oleh leburan beralun. Di tangan kirinya pula terpegang sebilah keris, tajamnya menunduk, berlumuran darah.

Kau dongak ke atas. Hujung tajam kerisnya dia jamahkan ke atas dahi kau. Kerisnya panas, membakar. Kau rasa diterima, diraikan—rasa marah juga membuak. Tapi kau tenang, kau rasa suatu kelembutan. Kelembutan yang rakus.

~ ~ ~ ~ ~ ~

Cerpen ini adalah interprestasi suatu mimpi benar yang diceritakan kepada penulis oleh Sharon Chin.

Bila Komuniti LGBT Tampil Sebagai Rakyat Malaysia