Sans-serif

Aa

Serif

Aa

Font size

+ -

Line height

+ -
Light
Dark
Sepia

Marilah berganding bahu bersama perkerja seks

Oleh VINODH PILLAI | 18 Januari, 2021

PEKERJA SEKS, percaya atau tidak, adalah pekerja. Tetapi di Malaysia (dan di banyak pelosok dunia), mereka tidak dianggap sebagai pekerja dan ahli masyarakat yang sama. Pelbagai undang-undang digunakan untuk menghukum pekerjaan yang mereka lakukan. Natijahnya, pekerja seks tidak mempunyai hak sama rata seperti pekerja-pekerja lain, dan kerap kali berakhir dengan diskriminasi, stigma dan ketidakadilan.

Kami telah mengumpulkan panduan ini berkenaan bagaimana kita semua boleh membantu—tidak kira anda mahu mengetahui cara menyokong hak-hak pekerja seks, atau anda mahu mengetahui tentang hak-hak anda sebagai seorang pekerja seks.

Maklumat dan pendapat dalam kisah ini hasil temubual yang kami jalankan bersama pekerja seks, aktivis dan NGO yang memperjuangkan hak asasi manusia para pekerja seks.

Apakah undang-undang digunakan bagi menyasarkan pekerja seks?

Terdapat beberapa undang-undang terhadap persundalan, di bawah undang-undang sivil dan undang-undang syariah negeri (Kanun Keseksaan mendefinisikan “persundalan” sebagai “tindakan seseorang yang menawarkan tubuh badan orang itu bagi pemuasan nafsu untuk disewakan sama ada melalui wang atau sepertinya”). Selain itu, undang-undang lain juga boleh digunakan—sebagai contoh, menyalahgunakan pas sosial bagi pekerja seks migran, undang-undang berkaitan seks atau undang-undang berkaitan komunikasi.

Undang-undang sivil yang mengkhususkan pekerjaan seks boleh didapati dalam Kanun Keseksaan di bawah seksyen-sekyen berikut:

Seksyen 372: Menyalahguna mana-mana orang bagi tujuan persundalan
Seksyen 372A: Seseorang yang hidup hasil daripada atau perdagangkan persundalan
Seksyen 372B: Mencari langganan bagi maksud persundalan
Seksyen 373: Pengawalan rumah-rumah persundalan

Seksyen 372 dan 372A menjenayahkan tindakan memberi kerja kepada seseorang atau mendapat keuntungan daripada pekerjaan seks, mengiklankan khidmat pekerjaan seks dan menyalahgunakan sesiapa sahaja yang memperoleh pendapatan hasil persundalan—sebagai contoh mak/bapa ayam. Selain itu, Seksyen 372B memfokuskan individu yang mencari langganan atau meminta bagi maksud persundalan (maksudnya cuba untuk menjual seks kepada orang lain).

Menariknya, Seksyen 372B tidak menyatakan bahawa persundalan adalah salah di sisi undang-undang, cuma yang salah mencari langganan bagi maksud persundalan. “Tetapi, malangnya… apa yang mahkamah dengar atau apa yang polis fikir dalam kepala mereka adalah, ‘Oh, kamu pelacur, jadi kamu melacur. Maka, itu jenayah’,” kata peguam kes jenayah Rajsurian Pillai, yang lazim mewakili pekerja seks semasa prosiding reman dan ikat jamin. “Tetapi 372B menyatakan, ‘mencari langganan bagi maksud persundalan’, jadi bahagian mencari langganan itu yang salah”.

Undang-undang syariah negeri juga menjenayahkan persundalan tetapi ia menyasarkan khusus kepada wanita dan selalunya digunakan terhadap wanita cisgender; di bawah undang-undang syariah, wanita trans boleh ditangkap kerana “berlagak seperti wanita”. Peruntukan ini kadang kala digunakan bagi menjenayahkan identiti gender dan pekerjaan seks. Walaubagaimanapun, undang-undang syariah hanya terpakai kepada yang beragama Islam.

Dengan banyaknya undang-undang berkaitan pelacuran/persundalan, eksploitasi atau pekerjaan seks paksa dengan pekerjaan seks yang dilakukan secara sukarela selalu dicampur-adukkan.

Perbuatan seperti pelacuran kanak-kanak patut dijadikan jenayah tidak kira apa bentuk kerana kanak-kanak sama sekali tidak dapat memberi persetujuan ke atas pekerjaan seks.

Walaubagaimanapun, ramai orang dewasa terlibat dengan pekerjaan seks tanpa sebarang bentuk paksaan. Ini sepatutnya dibenarkan. Pada masa sama, harusnya kekalkan undang-undang untuk menghalang sesiapapun daripada dipaksa dan dieksploitasi ke dalam pekerjaan seks tanpa kerelaan.

Lihat undang-undang lengkap, kedua-dua sivil dan syariah, di sini.

Apa yang terjadi jika seseorang didakwa kerana persundalan?

Setelah didakwa di mahkamah, jika mereka mengaku bersalah, mereka akan dikenakan hukuman serta merta dan tidak perlu wang ikat jamin. Tetapi jika mereka mengaku tidak bersalah, mereka akan dikenakan bayaran wang ikat jamin untuk tidak ditahan di penjara sehingga perbicaraan bermula. Rajsurian berkata wang ikat jamin di bawah Seksyen 372B Kanun Keseksaan bermula RM1,500 sehingga RM2,500 dan bergantung kepada budi bicara Majistret.

Kemudian terdapat pelbagai kes pengurusan di mahkamah, dan perbicaraan biasanya bermula sekitar sembilan bulan kemudian. Keseluruhan proses, termasuk tangkapan, dakwaan dan perbicaraan, mengambil masa selama dua tahun (boleh jadi lebih singkat atau lebih panjang, bergantung kepada kes), setelah Majistret tentukan terhadap seseorang dalam perbicaraan itu mengaku bersalah atau sebaliknya.

Pekerja seks cenderung untuk mengaku bersalah disebabkan mereka tidak mampu membayar peguam atau ikat jamin (bayaran peguam bagi sesebuah kes bermula daripada RM7,000 sekurang-kurangnya).

Aktivis hak pekerja seks sangat tidak menggalakkan untuk mengaku bersalah. Setelah mengaku bersalah, pekerja seks mungkin mendapat denda yang ringan tetapi mereka kelak akan mempunyai rekod jenayah, yang mana akan menjadi isu ketika memohon pekerjaan atau pinjaman nanti.

Jika anda seorang pekerja seks dan memerlukan bantuan guaman, anda boleh merujuk kepada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) untuk bantuan prosiding ikat jamin dan reman. YGBK terdapat di mahkamah-mahkamah dan dapat membantu mereka mendapatkan bantuan guaman di setiap negeri. Walaubagaimanapun, tiada jaminan mereka akan melayan atau membantu semua kes. Terdapat stigma yang besar mengenai pekerjaan seks dan pekerja seks, dan kami tidak dapat mengesahkan apakah YBGK dan peguam-peguam mereka peka terhadap isu-isu yang melibatkan komuniti terpinggir ini.

Kepada siapakah para pekerja seks boleh hubungi jika memerlukan bantuan?
  • Justice for Sisters. Sebuah organisasi advokasi transgender yang boleh membantu dalam rujukan perundangan. Mereka berganding bahu dengan peguam hak asasi manusia yang lazim mewakili pekerja seks secara percuma atau bayaran yang minimum. Emel mereka di: justiceforsisters@gmail.com.
  • Selvi. Seorang aktivis hak pekerja seks yang akan cuba membantu semampunya. Kirimkan tulisan kepadanya di: bapamma@yahoo.com.
  • Yayasan PT. Sebuah NGO yang bergiat dalam pendidikan dan kesihatan seks untuk kelompok terpinggir yang terkesan dengan HIV/AIDS. Hubungi mereka di: ptf@ptfmalaysia.org.

Risau didiskriminasi dan dipandang serong? Kami bertanya Pemangku Ketua Pegawai Operasi Yayasan PT, Raymond Tai, dan di sini apa yang dia ingin katakan: “Kita nak orang positif terhadap seks, bercakap berkenaan perkara tersebut biarpun sebelum mereka memikirkan berkenaan seks, jadi pabila mereka bersedia untuk melakukan seks, mereka tahu pilihan-pilihan ini wujud. Kami mengharapkan (mereka) bercakap berkenaan hal ini dengan pasangan mereka sebelum melakukan seks jadi pelbagai rundingan seks yang akan berlaku. Perkara ini akan membawa kepada hasil seks yang lebih selamat”.

Sebuah gambaran pelukis terhadap pekerja seks Malaysia di hadapan Dataran Merdeka sekitar tahun 1960-an, salah satu daripada tiga tempat dalam pusat bandar yang mana pekerja seks telah bekerja pada ketika itu.
Bagaimana NGO ini semua membantu pekerja seks?

Peranan NGO dalam membantu pekerja seks tidak dapat dinafikan. Seorang pekerja seks, Nordin*(bukan nama sebenar) memberitahu kami, “Saya tidak tahu tentang risiko-risiko ini (STD dan HIV) sehinggalah semester akhir saya (di kolej). Pada suatu hari, sebuah NGO datang ke kampus saya untuk sebuah program dan saya melakukan ujian saringan”, katanya, dan tambahnya lagi dia akhirnya bekerja dengan NGO tersebut dan menjadi lebih faham tentang amalan seks selamat.

Semua NGO-NGO ini juga membantu secara tidak langsung untuk memberi nasihat perundangan, membantu dan advokasi hak-hak pekerja seks—pekerja seks seperti Nordin sangat menghargainya.

Salah satu cara untuk kita menyokong hak-hak pekerja seks adalah dengan membantu, bekerjasama atau menjadi sukarela kepada organisasi-organisasi ini.

Apakah terdapat organisasi yang diterajui oleh pekerja seks di Malaysia?

Setakat ini tiada lagi organisasi seumpamanya dalam negara. Sebenarnya terdapat banyak cabaran yang dihadapi mereka untuk berorganisasi. Walaubagaimanapun, terdapat jaringan komuniti, seperti kalangan pekerja seks transgender.

Tetapi, walaupun terdapatnya sebuah jaringan yang kuat dalam kalangan pekerja seks transgender, boleh dikatakan jaringan semisalnya tidak wujud bagi pekerja seks lelaki atau wanita cisgender sekalipun. Stigma dan keterpinggiran yang dihadapi oleh komuniti-komuniti ini membuatkan jaringan menjadi sukar. Baca lanjut berkenan cabaran mereka dalam artikel 2 siri pekerjaan seks kami.

Pekerja seks Muhammad* (bukan nama sebenar) berharap pekerja-pekerja seks lelaki boleh ada jaringan—dan sepatutnya juga semua kelompok pekerja seks lain. Dia berkata: “Pekerja-pekerja seks lelaki sepatutnya mempunyai sebuah komuniti kecil bagi membantu antara satu sama lain”. Mereka boleh membantu kalangan mereka dengan mendapatkan bantuan bersama untuk ikat jamin atau membayar denda komuniti, dia senaraikan contoh. Cara lain mereka boleh membantu satu sama lain melalui acara pengumpulan dana atau derma sebahagian pendapatan mereka, dan termasuklah pekerja seks cisgender, pekerja seks transgender dan orang-orang transgender, dia menambah.

Bagaimana kita boleh menyokong hak-hak pekerja seks ini?

Di sini beberapa perkara yang kita boleh lakukan:

  1. BELAJAR DAN DENGAR: Bercakaplah dengan mereka daripada komuniti, atau mereka yang bekerja dengan mereka. Baca, kaji, Google.
  2. TINGKATKAN KESEDARAN tentang pekerjaan seks dan hak asasi manusia pekerja seks kalangan rakan-rakan anda dan orang lain. Tingkatkan kesedaran diri anda sendiri juga.
  3. RUNTUHKAN STIGMA dan salah tanggapan.
  4. MEMERHATI MEDIA dan menulis kepada media apabila anda melihat artikel sensasi yang memberi gambaran salah terhadap pekerja seks, mengukuhkan stereotaip berbahaya atau membenarkan penangkapan mereka.
  5. MELIBATKAN DIRI dengan pekerja seks dan organisasi yang bekerja bersama pekerja seks serta meneroka apa yang anda boleh lakukan bersama mereka. Keraplah merujuk dan bertanya tentang pertolongan bagaimana yang mereka perlukan. Jangan buat andaian.
  6. JANGAN AGAK-AGAK untuk bercakap bagi pihak mereka. Jika mampu, bekerjasama dengan mereka untuk membentuk ruang yang mana mereka boleh berkongsi kisah mereka sendiri.
  7. KUMPUL DANA untuk membantu pekerja seks membayar bayaran guaman mereka. Mereka juga alami kesukaran nyata disebabkan COVID-19.

Matlamat utamanya adalah pemansuhan Seksyen 372B dan undang-undang lain yang mensasarkan pekerja seks. Dengan pemansuhan ini, ia akan memberi kesan besar kepada kehidupan pekerja seks. Walaubagaimanapun, ia memerlukan momentum dan sokongan.

Dengan adanya banyak lagi kerja dan penglibatan orang biasa seperti kita, berkemungkinan besar ia akan mendorong pembaharuan undang-undang dalam jangka panjang.

Bagaimana kita boleh menyahjenayahkan pekerjaan seks?

Permulaan pertama yang baik adalah dengan memansuhkan Seksyen 372B. Walau bagaimanapun, ini sukar dilakukan. Pertama, ia memerlukan ujian kes oleh seseorang yang telah didakwa di bawah Seksyen 372B. Setelah didakwa di Mahkamah Majistret, orang itu kemudian harus mengemukakan cabaran di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Persekutuan terhadap undang-undang tersebut. Mereka perlu berhujah bahawa undang-undang tersebut bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan dan harus dimansuhkan.

Walaubagaimanapun, mahkamah hanya boleh menjadikan undang-undang itu terbatal dan tidak sah. Ini kerana undang-undang boleh dimansuhkan melalui dua saluran utama: melalui Parlimen dan Dewan Undangan Negeri, dan melalui mahkamah. Jadi untuk mengeluarkan undang-undang tersebut daripada Kanun Keseksaan, ia perlu melalui proses parlimen atau DUN juga.

Di manakah saya boleh mengetahui lanjut tentang pekerjaan seks di Malaysia?

Lihat sumber-sumber ini untuk selebihnya!

Country Progress Report 2019 – Malaysia

Estimating the Number of Sex Workers in Malaysia

How Sex Work Laws are Implemented on the Ground and their Impact on Sex Workers

Malaysia National Strategic Plan for Ending AIDS 2016-2030

Malaysian Expert: Prolonged MCO Leaves Sex Workers, Youth Vulnerable to HIV Infection Due to Lack of Access to Condoms

Policy and Legal Environments Related to HIV Services in Malaysia

PT Foundation’s Sex Work Programme

Sex Work and the Law In Asia and the Pacific Laws, HIV and Human Rights in the Context of Sex Work

*

Sekiranya anda seorang pekerja seks dan ingin berkongsi kisah anda atau ingin menghubungi mana-mana aktivis hak pekerja seks dalam artikel kami, sila hubungi kami di hello@queerlapis.com

Ini adalah artikel terakhir daripada Siri Pekerjaan Seks kami. Lihat kisah-kisah sebelumnya, juga terdapat dalam Bahasa Malaysia, Mandarin dan Tamil, di sini.

~ ~ ~ ~ ~ ~

Vinodh Pillai adalah penulis berkenaan isu-isu LGBTQ+.

Projek ini adalah kerjasama antara Vinodh Pillai, Queer Lapis dan Projek Dialog.

Ilustrasi oleh Art.Zaid.

Poster “Marilah Berganding Bahu Bersama Pekerja Seks”: Ilustrasi oleh Art.Zaid, reka bentuk oleh Pang Khee Teik.

Disunting oleh Pang Khee Teik, Thilaga, Ryan Ong dan Salami.