Sans-serif

Aa

Serif

Aa

Font size

+ -

Line height

+ -
Light
Dark
Sepia

Keputusan Mahkamah Persekutuan berkenaan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Selangor mengesahkan perlindungan Perlembagaan buat semua

Oleh Jaringan LGBTQ+ di Malaysia

25 Feb, 2021

Jaringan LGBTQ+ di Malaysia menyambut baik keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan hari ini berkenaan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995. Seksyen 28 adalah salah satu daripada undang-undang negeri dan persekutuan yang menjadikan perhubungan seks suka rela “di luar tabii” sebagai satu jenayah, dengan hukuman maksimum RM5,000, tiga tahun penjara, enam sebatan, atau gabungan mana-mana hukuman tersebut. Seksyen undang-undang ini selalu diguna pakai terhadap golongan terpinggir dan tertindas atas dasar orientasi seksual atau identiti gender. Keputusan yang dibuat hari ini memberi keadilan buat mereka dan secara langsung mengangkat prinsip demokrasi yang menjadi tunjang kepada Perlembagaan Persekutuan. Keputusan ini bukan sahaja memberi kesan kepada komuniti LGBTQ+ yang berdepan dengan pelbagai diskriminasi dan penindasan, tetapi juga buat semua warganegara kerana keputusan ini secara jelas menunjukkan proses semak dan imbang yang demokratik amat diperlukan dalam penggubalan undang-undang jenayah yang mempunyai kesan besar terhadap kehidupan dan kebebasan kita semua.

“Kami sangat berbesar hati dengan perkembangan bersejarah ini. Hal ini adalah satu ukuran besar buat kemajuan hak LGBTI di Malaysia. Telah banyak tahun kami bekerja keras untuk mendapatkan hak meneruskan hidup bermaruah tanpa ketakutan berdepan dengan penindasan,” kata Numan Afifi.

Dalam keputusan sebulat suara itu, hakim-hakim yang arif telah mengisytiharkan bahawa Dewan Negeri Selangor tidak mempunyai kuasa perundangan untuk membuat undag-undang Seksyen 28. Keputusan ini secara jelas menunjukkan bidang kuasa dewan undangan negeri tidak termasuk di dalam penggubalan undang-undang jenayah yang termasuk dalam bidang kuasa Parlimen seperti yang termaktub di bawah Senarai Persekutuan.

“Pada mulanya saya sangat gusar dan khuatir bahawa keputusan yang akan dibuat tidak akan berpihak kepada kami, dan keputusan ini sangatlah memeranjatkan. Saya fikir ini adalah satu keputusan yang memberangsangkan, hal ini semestinya akan memperkasakan golongan minoriti di Malaysia. Keputusan ini mengingatkan kita semua bahawa golongan LGBTQ juga golongan manusia seperti rakyat Malaysia yang lain. Kami berhak untuk mendapatkan hak kemanusiaan asas kami agar dilindungi di negara sendiri.

Dengan keputusan hari ini, kami mengambil semula hak kami dan perkara ini semestinya akan memberi semangat kepada kami untuk meneruskan perjuangan untuk menuntut hak kami. Terima kasih yang tidak terhingga buat kumpulan guaman, NGO, sukarelawan yang telah bersama menggembleng tenaga,” kata Chong Yee Shan, Diversity.

Keputusan yang dibuat mengangkat keutamaan Perlembagaan Persekutuan yang menidakkan mana-mana undang yang bercanggah dengan Perlembangaan Persekutuan. Seksyen 28 dan enakmen Syariah yang seakan dengannya telah digunakan secara tidak adil untuk menindas golongan yang dianggap berbeza dari segi orientasi seksual dan identiti gender oleh pihak penguat kuasa, termasuklah penangkapan sewenang-wenangnya dan pencerobohan privasi, maruah dan kesaksamaan di bawah undang-undang. Penggunaan undang-undang ini telah digunakan secara meluas dan disasarkan kepada golongan LGBTQ+ yang terpaksa berdepan dengan serbuan, tangkapan, pemenjaraan, dan mutakhir sekali sebatan umum. Sebelum keputusan ini dibuat, golongan LGBTQ terdedah kepada pendakwaan pemerintah yang disasarkan pada semua peringkat – dari Kanun Keseksaan, dan undang-undang Syariah yang berulang kali menghukum perlakuan seks suka rela antara dua pihak. Hal ini merupakan satu kemajuan yang kritikal dalam gerakan untuk menghentikan penjenayahan berganda secara sewenang-wenangnya di bawah undang-undang.

Diskriminasi turut memberi kesan buruk terhadap mutu kesihatan mental dan keperibadian seseorang, serta memberi beban kewangan yang tinggi terhadap golongan terpinggir. Natijahnya membawa kepada golongan terpinggir ini cenderung ke arah memudaratkan diri dan mengambil keputusan yang mengancam nyawa semata-mata untuk mengelak daripada ditangkap dan diaibkan. Keputusan ini memberi keadilan kepada mereka yang terdedah kepada pendakwaan atau mereka yang boleh didakwa hanya berdasarkan identiti mereka serta kehendak untuk bersama secara peribadi.

“Sekian lama kami berdepan dengan ramai mangsa yang menderita di bawah undang-undang ini – ada yang kehilangan kerja, ada yang dibuang keluarga, ada yang terpaksa hidup di jalanan, dan ada juga yang hampir bunuh diri dek enakmen dan pelaksanaan undang-undang ini. Setelah bertahun-tahun bergelumang dengan derita daripada rasa berputus harap, mereka akhirnya dapat secebis keadilan daripada keputusan yang dibuat.” Kata Gavin Chow, PLUHO

Keputusan ini mengorak jalan ke arah perjuangan untuk menegakkan hak kemanusiaan dan keadilan buat semua. Hal ini juga memulihkan keyakinan terhadap badan kehakiman dan prinsip demokrasi yang mendasari undang-undang. Perlembagaan Persekutuan memberi jaminan hak buat semua tanpa mengira etnik, agama, gender atau seksualiti. Kami menyeru Kerajaan Negeri Selangor dan negeri-negeri yang lain untuk bertindak melaksanakan keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Persekutuan tersebut. Keadilan adalah hak semua.

Dengan ini, kami juga mengingatkan tindakan Jabatan Imigresen yang menghantar pulang pada minggu ini 1,086 warga Myanmar setelah keputusan penangguhan oleh Mahkamah Tinggi. Adalah penting buat Kerajaan Malaysia untuk patuh kepada keputusan mahkamah bagi memastikan keadilan, kesaksamaan dan menjaga maruah semua. Kami berdiri teguh dalam solidariti bersama golongan migran dan pelarian suaka.

 —

Kami juga memohon jasa baik pihak media untuk mengekalkan anonimiti nama si pemohon dan merujuk kepada kes ini sebagai Kes Seksyen 28 Selangor.