Hukuman Bagi Percubaan Melakukan Hubungan Seks Menunjukkan Kekerasan Semakin Meningkat Terhadap Individu LGBTQ Di Malaysia
Kuala Lumpur, 8 November 2019 — Kami sekeras-kerasnya membidas hukuman yang dijatuhkan ke atas lima lelaki pada 7 November 2019 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Selangor atas pertuduhan cubaan melakukan “persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii” (Seksyen 52 dibaca bersama dengan Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995) berikutan satu serbuan dan penangkapan sewenang-wenangnya yang dibuat di sebuah acara persendirian yang diadakan pada tahun lepas (2018).
Empat individu telah dijatuhkan hukuman denda sebanyak RM4,800, enam bulan penjara, dan enam kali sebatan, sementara itu seorang lagi individu telah dihukum denda sebanyak RM4,900, tujuh bulan penjara, dan enam kali sebatan.
Pendakwaan terhadap individu yang melakukan percubaan ‘persetubuhan bertentangan dengan hukum tabii’, liwat atau musahaqah, dan hukuman berat yang dikenakan dengan tujuan sebagai pengajaran kepada khalayak umum ini adalah suatu hal yang amat membimbangkan. Kami ingin mengingatkan pihak mahkamah bahawa perhubungan seksual antara orang dewasa yang rela bukanlah satu jenayah dan individu lesbian, gay, biseksual, dan transgender (LGBT) bukanlah penjenayah. Hubungan seksual secara rela dan peribadi bukan juga urusan umum. Kami juga mengutuk perbuatan ‘tajassus’ atau perbuatan mengintip yang dilakukan oleh pihak berkuasa agama yang membawa kepada pendakwaan lima orang lelaki tersebut.
Di dalam mahkamah, hakim telah membuat banyak kenyataan prejudis yang tidak berkaitan langsung dengan fakta yang dibicarakan dalam mahkamah yang telah secara langsung memangsakan lima orang lelaki tersebut. Keputusan hakim sepatutnya tidak berdalilkan kesan ke atas masyarakat, kerana ia hanyalah sangkaan yang berunsur tokok-tambah semata. Hendaklah diingatkan, undang-undang yang bersifat diskriminasi dalam masyarakat mempunyai kesan yang mudarat terhadap akses keadilan bagi individu LGBT. Hukuman melampau yang dijatuhkan oleh pihak mahkamah telah memberi kesan kepada kehidupan, jaminan kerjaya, dan tanggungjawab terhadap keluarga mereka, termasuklah aspek-aspek kehidupan yang lain. Hakim juga berkeras untuk menjatuhkan hukuman penjara terhadap mereka sebagai langkah pemulihan dan mengasingkan mereka daripada ‘kelompok dan persekitaran mereka’ (baca: golongan LGBT yang lain) sebagai langkah pencegahan. Hakim tersebut juga menyatakan bahawa kelompok ini susah untuk dikawal, jadi mereka perlu diasingkan. Kenyataan-kenyaatan serong sebegini menunjukkan terdapat sentimen prejudis di pihak hakim, di mana ia telah mengakibatkan ketidakadilan dalam keputusan penghakiman terhadap lelaki-lelaki ini.
Pemahaman dan kesedaran yang rendah terhadap bukan sahaja terhadap komuniti LGBTQ tetapi juga orientasi seksual, identiti gender, dan ekspresi gender telah mewujudkan ketidakadilan dan pemangsaan terhadap komuniti LGBTQ, seperti yang terbukti dalam kes ini. Keputusan mahkamah seperti yang dijatuhkan semalam menguatkan lagi tanggapan bahawa komuniti LGBT adalah penjenayah, yang secara langsung telah membolehkan banyak cara lain lagi untuk masyarakat dan pihak penguasa berlaku zalim terhadap komuniti yang rentan ini — bukan setakat daripada pihak penguasa, malah juga di tempat kerja, masyarakat, dan keluarga mereka sendiri.
Undang-undang ini sememangnya mempunyai unsur diskriminasi yang tinggi dan melanggar prinsip hak asasi manusia, terutamanya hak untuk hidup bermaruah. Undang-undang ini juga telah melanggar hak-hak yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan seperti Perkara 8 berkenaan kesamarataan di sisi undang-undang, Perkara 5 berkenaan kehidupan bermaruah, serta perbicaraan yang adil dan saksama, dan Perkara 9 berkenaan kebebasan untuk bergerak.
Tambahan lagi, undang-undang ini telah mencabuli Perkara 1, 2 dan, 7 dalam Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia (UDHR) berkenaan hak kesamarataan, tiada diskriminasi, dan martabat, Perkara 5 untuk bebas daripada hukuman yang kejam lagi menyeksakan, Perkara 10 di bawah kesamaan untuk perbicaraan yang adil dan saksama, Perkara 13 di bawah kebebasan untuk bergerak, serta Perkara 21 dan 23 di bawah hak untuk pekerjaan.
Oleh sebab kesan yang buruk dalam jangka masa yang panjang, undang-undang ini perlu dimansuhkan dengan segera. Undang-undang ini bukan sahaja menguatkan pengawasan moral, serbuan, dan penangkapan sewenang-wenangnya, tetapi ia juga membenarkan hukuman yang memudaratkan seperti amalan sebat untuk terus berjalan. Kami menyeru para pengamal perubatan untuk menolak sekeras-kerasnya amalan yang tidak beretika oleh para doktor yang bersetuju untuk meneruskan hukuman sebatan dan membantu menyebarluaskan kemudaratan terhadap insan.
Kami juga turut menyeru agar pihak media untuk mengamalkan nilai professionalisme yang tinggi dalam melaporkan kes ini. Seperti yang dilihat dewasa ini, kita mendapati amalan berat sebelah dan unsur-unsur mensensasikan laporan oleh beberapa pihak penerbitan yang akan mengancam keselamatan, kesejahteraan, dan kelangsungan hidup lebih ramai individu-individu LGBT secara amnya. Bahasa dan cara mesej disampaikan dalam laporan-laporan media boleh menggalakkan perbincangan yang berbahaya dalam ruang awam, meningkatkan mentaliti rusuh dan ancaman bunuh. Seperti yang kita saksikan sebelum ini, laporan yang bersifat berat sebelah dan sensasi telah meningkatkan homofobia dan transfobia di kalangan masyarakat awam, yang memberi kesan langsung kepada kehidupan dan keselamatan komuniti LGBT.
Kerajaan bertanggungjawab untuk melindungi dan mengangkat hak asasi setiap insan, termasuklah mereka yang mempunyai kepelbagaian orientasi seksual, identiti gender, dan ekspresi gender, dan kerajaan juga perlu menghentikan semua bentuk diskriminasi, keterpinggiran dan pemangsaan. Komuniti LGBTQ dan mereka yang mempunyai kepelbagaian orientasi seksual, identiti gender, dan ekspresi gender telah cukup menderita berdepan dengan diskriminasi dan keganasan bukan sahaja daripada pihak berkuasa dan tetapi juga pihak bukan kerajaan. Telah tiba masanya untuk kerajaan menghentikan segala bentuk diskriminasi dan keganasan terhadap komuniti LGBTQ.
Disokong oleh:
- Justice for Sisters
- Pelangi Campaign
- Seksualiti Merdeka
- Queer Lapis
- People Like Us Hang Out (PLUHO)
- Transmen of Malaysia
- All Women’s Action Society (AWAM)
- PLUSOS (People Like Us Support Ourselves)
- KL Queer Women Discussion Group
- Cempaka Collective
- L-INC Foundation
- KLSCAH YOUTH
- The KLSCAH Women Section
- Persatuan Sahabat Wanita Selangor
- KRYSS Network
- SEED
- Suara Rakyat Malaysia (SUARAM)
- Tenaganita
- RRAAM (Reproductive Rights Advocacy Alliance)
- QUASSA
- Gerakan Pembebasan Akademik (GPA)
- Queer Temple
- Gerakan Mahasiswa Maju UPM (GMMUPM))
- North South Initiative (NSI)
- BENTARAKATA
- BIKAR ALAM
- Good Samaritan Kuala Lumpur (GSKL)
- Parti Sosialis Malaysia (PSM)
TAMAT//