Hentikan Initimidasi terhadap Pembela Hak Asasi Manusia yang Mempertikaikan Dasar Kerajaan Berkaitan LGBTIQ
Kami amat khuatir dengan reaksi melampau pihak kerajaan dan badan bukan kerajaan terhadap sebuah kiriman media sosial berkenaan terapi ‘pemulihan’ bertarikh 30 Julai 2020. Kami percaya kiriman tersebut telah diambil di luar konteks oleh individu yang berniat memburukkan komuniti LGBTQ. Hal ini telah menyebabkan laporan polis dibuat terhadap pembela hak asasi manusia yang mengarang hantaran tersebut.
Dakwaan JAKIM dan beberapa individu lain yang telah membuat laporan polis bahawa kiriman media sosial itu menyamakan Kem Mukhayyam yang didanai oleh kerajaan dengan kaedah terapi ‘pemulihan orientasi seksual dan identiti gender yang lain telah menimbulkan kekeliruan. Kiriman media sosial tersebut, sebaliknya, memberi gambaran menyeluruh berkenaan terapi pemulihan orientasi seksual dan identiti gender, serta kaedah terapi pemulihan yang diamalkan di seluruh dunia oleh pihak kerajaan dan bukan kerajaan. Dakwaan bahawa kiriman media sosial tersebut telah “memfitnah” JAKIM dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) adalah tidak berasas.
Dalam konteks Malaysia, kiriman media sosial tersebut dengan jelas telah menyenaraikan terapi ‘pemulihan’ yang didanai kerajaan seperti berikut:
- Program atau Kem Mukhayyam
- Seminar dan aktiviti
- Pemulihan Islamik sebagai rawatan untuk “memulihkan” LGBT
- Pelan Tindakan Menangani Gejala Sosial Perlakuan LGBT
- Sumber termasuk e-buku dan aplikasi untuk “hijrah diri” atau “mengubah diri”
Setiap maklumat di dalam kiriman tersebut telah dipetik daripada kajian yang diterbitkan, Hansard Parlimen dan laporan media yang boleh diakses di atas talian.
Terdapat banyak kaedah terapi ‘pemulihan’ yang menggunakan nama yang berlainan di seluruh dunia. Di Malaysia, istilah seperti ‘balik ke pangkal jalan’, ‘kembali ke jalan yang benar’ dan ‘hijrah’ digunakan dengan meluas untuk merujuk kepada perubahan atau penekanan orientasi seksual dan identiti gender. Hal ini termasuk program didanai kerajaan yang disebut di atas.
Seperti yang disebut oleh bekas Menteri Hal Ehwal Agama, Mujahid Yusof Rawa pada tahun 2019, program didanai kerajaan berniat untuk “memulih, memperbaiki, mengubah tingkah laku mereka dan cara hidup mereka yang songsang”. Begitu juga, pada sesi parlimen ke-17 pada tahun 2012, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu Dr. Mashitah Ibrahim berkongsi bahawa JAKIM telah menggunakan dua pendekatan untuk “membanteras LGBT” iaitu pencegahan menggunakan kaedah dakwah dan penguatkuasaan undang-undang.
Dalam sebuah visual yang diterbitkan oleh JAKIM pada Julai tahun ini, Ketua Pengarah JAKIM dipetik berkata Program Pendidikan, Rawatan dan Pemulihan Kecelaruan Gender telah mendekati sebanyak 1700 individu LGBT sejak permulaannya pada tahun 2011. Beliau menyatakan bahawa ramai daripada mereka yang didekati telah berhijrah. Kenyataan seperti ini jelas menunjukkan bahawa matlamat JAKIM dalam melaksanakan program yang mensasarkan individu LGBTQ adalah selari dengan matlamat terapi ‘pemulihan’ yang difahami seluruh dunia meskipun ia mempunyai nama dan kaedah yang berbeza.
Berkaitan persoalan tentang penyertaan individu dalam program Mukhayam, kiriman daripada pembela hak asasi manusia itu TIDAK PERNAH menyatakan bahawa penyertaan adalah secara bukan sukarela atau sebaliknya. Ia juga tidak membuat spekulasi, mencerca atau mempersoalkan niat dan motivasi peserta yang mengikuti program itu.
Walau bagaimanapun, kita masih memerlukan pemahaman yang lebih mendalam tentang maksud “penyertaan sukarela”. Meskipun penyertaan seseorang dalam mana-mana program tersebut dikatakan ‘sukarela’, ia tidak bermaksud program tersebut selari dengan piawaian hak asasi manusia. Penyertaan dan kaedah program adalah dua perkara berbeza yang perlu dinilai.
Di Malaysia, kewujudan undang-undang, dasar dan program pemulihan yang menyasarkan individu LGBTQ atau berperilaku LGBTQ menyumbang kepada stigma sosial terhadap individu LGBTQ. Keputusan ramai individu LGBTQ yang hidup dalam persekitaran yang homofobik dan transfobik untuk mengubah atau menekan orientasi seksual dan identiti gender mereka supaya mereka boleh diterima masyarakat adalah sesuatu yang boleh difahami. Oleh itu, kita perlu bertanya soalan ini; apakah tahap kesukarelawanan individu LGBTQ yang menyertai program itu sekiranya mereka hidup dalam masyarakat yang meminggir, mencetus stigma dan menjenayahkan mereka di sisi undang-undang?
JAKIM dan pihak lain juga telah mendakwa bahawa pengarang kiriman itu menafikan kebebasan beragama individu yang ingin mengambil bahagian dalam program tersebut. Kami ingin menyatakan bahawa pengarang kiriman tersebut tidak mempunyai kuasa untuk menafikan kebebasan mereka untuk beragama, dan beliau juga tidak mencabar Islam atau agama lain. Sementara itu, melaporkan beliau kepada pihak polis berdasarkan kesalahtafsiran kiriman beliau, mereka telah menafikan hak beliau untuk bersuara. Menulis tentang terapi pemulihan, program pemulihan yang didanai kerajaan, dan pengalaman individu LGBTIQ yang lain sama sekali tidak bermaksud menghalang individu lain untuk mengamalkan agama mereka. Beliau hanya menyuarakan kekhuatiran tentang program dan pendekatan yang didanai kerajaan untuk memulihkan individu LGBTQ. Sistem demokrasi yang sihat dan berfungsi harus memberi ruang kepada individu untuk mempersoal program yang didanai kerajaan seperti mana agensi kerajaan harus bertanggungjawab untuk memberi respons terhadap persoalan ini tanpa intimidasi.
Tindakan terburu-buru JAKIM membuat laporan polis adalah keterlaluan. Ia mengundang seruan kepada rakyat Malaysia bahawa kita tidak dibenarkan mempersoal dasar dan program kerajaan, dan berniat untuk menyekat kebebasan bersuara dan hak kita terhadap maklumat dan informasi. Hal ini sekali gus akan menyekat penglibatan terbuka rakyat dalam isu berkaitan undang-undang, dasar, arahan dan program kerana mereka takut dikenakan tindakan. Ketakutan terhadap tindakan yang akan dikenakan selalunya memberi kesan lebih buruk kepada komuniti terpinggir seperti LGBTQ, dan mengakibatkan mereka berdiam diri. Ini secara efektifnya merendahkan piawaian akauntabiliti kerajaan dan pemerintahan yang baik.
Program pemulihan dan pendekatan lain pihak kerajaan yang berkaitan dengan individu LGBTQ telah mendapat kritikan meluas daripada pelbagai pihak. Pada tahun 2018, Jawatankuasa Konvensyen Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) telah mencadangkan supaya Malaysia “mempercepatkan tindakan untuk menghentikan segala dasar dan aktiviti yang bertujuan untuk “membetulkan” atau “memulihkan” wanita LBTI.”
Sejajar dengan piawaian hak asasi manusia antarabangsa, CEDAW dan cadangan relevan lain yang diutarakan oleh Pelapor Khas PBB, kami menyarankan kerajaan untuk menggunakan isi kandungan tersebut sebagai sebuah peluang untuk melaksanakan satu penilaian impak hak asasi manusia yang bebas bagi program sedia ada dan pendekatan kerajaan berkaitan isu LGBTQ. Untuk memastikan ia lebih bermakna, kami mencadangkan kerajaan melibatkan diri dan mendapatkan khidmat nasihat daripada kumpulan hak asasi manusia LGBTQ yang menegakkan dan mempertahan hak asasi manusia sejagat supaya semua individu dapat melibatkan diri dalam menjadikan Malaysia selamat dan saksama bagi semua lapisan masyarakat. Individu LGBTQ tidak perlu mengubah diri mereka. Namun bersama-sama kita boleh mengubah Malaysia menjadi lebih baik.
//TAMAT
Disokong oleh :
- Justice for Sisters
- PELANGI Campaign
- Gay Community Welfare Network
- People Like Us Hang Out (PLUHO)
- Amnesty International Malaysia
- Aliran
- ASEAN SOGIE Caucus (ASC)
- Beyond Borders Malaysia
- Center for Independent Journalism (CIJ)
- Jaringan Kampung Orang Asli Semenanjung Malaysia (JKOASM)
- Persatuan Promosi Hak Asasi Manusia (PROHAM)
- Pergerakan Tenaga Akademik Malaysia (GERAK)
- Sisters in Islam (SIS)
- Sabah Women’s Action Resource Group (SAWO)
- Tenaganita