Bye Aisyah: Kawan Homofobik Bukanlah Kawanku
Oleh Meon | 9 Disember 2020
Ketika komuniti LGBTQ meminta orang ramai untuk memboikot lagu baru kumpulan Bunkface berjudul “Akhir Zaman” awal tahun ini, kawan baik saya Aisyah dengan agresifnya menentang. Dia menyokong tindakan kumpulan Bunkface. Dia seperti bersetuju bahawa golongan LGBTQ patut ‘pergi mampus’. Saya benar-benar kecewa. Daripada situ, saya mula nampak siapa dirinya yang sebenar. Dia bukan seorang kawan yang baik untuk saya. Saya tidak selamat berada di sisi dia.
Sebelum ini, saya anggap Aisyah seperti kakak saya sendiri kerana kami membesar bersama. Dia bersama dengan saya hampir 20 tahun.
Sepanjang persahabatan kami, ada beberapa insiden lagi yang pernah menimbulkan rasa kurang selesa saya terhadapnya. Antara contoh yang boleh saya ingat adalah komennya terhadap seorang pelajar lelaki yang ditangkap menjalin hubungan seksual dengan pelajar lelaki lain di kolej. Aisyah berkata, “Aku geli dengan lelaki yang macam ni.” Waktu itu, saya hanya mampu tertawa, biarpun jauh di sudut hati, saya takut untuk memberitahunya tentang siapa diri saya yang sebenar.
Kelantangan saya dalam menyuarakan hak-hak kemanusiaan terhadap golongan LGBTQ di Malaysia bermula beberapa tahun yang lalu selepas saya menyantuni golongan transgender wanita. Saya akan membidas komen-komen berbaur homofobik atau transfobik dalam kalangan rakan-rakan saya di media sosial. Lebih-lebih lagi salah faham terhadap HIV, AIDS, gender, dan juga seksualiti.
Sewaktu nama Nur Sajat mula naik, ramai rakan saya yang suka memberi pandangan negatif mereka. Ini termasuklah Aisyah yang selalu berjenaka tentang gender Nur Sajat. Saya pernah memanggil dia transfobik kerana komennya itu. Tapi sayang, ianya tidak memberi kesan. dia berterus-terusan mempamerkan kebencian terhadap golongan LGBTQ di Malaysia.
Saya berdiam diri saja kerana terlalu sayangkan persahabatan kami. Saya menyimpan azam untuk mengubah persepsi dia terhadap golongan LGBTQ di Malaysia. Tapi sayang, saya tidak sempat berbuat sedemikian.
Siapakah Kawan Sebenar
Pada mulanya, saya menganggap bahawa semua kawan heteroseksual saya sama seperti Aisyah. Terlalu obses untuk berdakwah kepada golongan LGBTQ untuk ‘kembali ke pangkal jalan’. Lagu baru Bunkface itu telah membuka mata saya untuk melihat siapa sebenarnya kawan dan siapa sebenarnya lawan. Ramai saja kawan-kawan saya yang heteroseksual turut menentang dan memboikot lagu tersebut. Bagi mereka, menyebarkan kebencian bukanlah cara terbaik untuk menyantuni golongan LGBTQ.
Sebab itulah, saya tidak ralat ketika saya mengambil keputusan untuk memutuskan persahabatan dengan Aisyah. Jika benar Aisyah menganggap saya seperti adiknya, dia patut terima siapa diri saya. Dia tidak boleh mengubah siapa diri saya. Banyak kali dia mengucapkan kata sayang pada saya. Sayangkah dia pada saya jika dia bersetuju bahawa saya ini patut pergi mampus? Ikhlaskah dia berkawan dengan saya kalau dia setuju bahawa kebencian terhadap golongan yang sama seperti saya diteruskan?
Pada hari jadi saya tahun ini, dia ada cuba untuk berbaik semula. Tapi dia tidak meminta maaf pun. Dia sekadar mahu tahu sama ada saya masih marah padanya lagi ataupun tidak. Saya tidak membalas mesejnya itu kerana sakit hati ini masih terasa.
Selepas kes lagu Bunkface itu, lebih ramai lagi kenalan yang telah mendapat nasib yang sama. Sebagai seorang insan yang pernah dibuli, dipulau dan dikeji sewaktu di zaman persekolahan, saya tidak teragak-agak untuk menentang mereka yang menentang kewujudan saya. Saya tidak gentar untuk memutuskan hubungan silaturahim biarpun tindakan saya dianggap seperti tidak matang. Bagi saya, saya mempunyai hak untuk memilih siapa kawan saya. Jika kawan saya itu seorang homofobik, dia bukanlah kawan saya yang sebenar.
Nak Berkawan Silakan, Tak Nak Sudah!
Untuk Aisyah yang masih saya sayangi, sekiranya anda terjumpa kalam ini, saya harap satu hari nanti, anda akan nampak yang saya masih sahabat anda yang sama. Yang pernah menjadi teman sepermainan anda. Yang pernah bercuti di Pulau Pinang bersama anda dengan rakan-rakan sekelas kita. Yang sentiasa menemani anda menghadiri majlis perkahwinan rakan-rakan yang kita kenali. Yang ada ketika anda mendirikan rumah tangga dan melahirkan puteri sulung.
Saya masih lagi sahabat anda yang dulu. Jika anda masih mahu menyebarkan kebencian terhadap golongan LGBTQ, jangan pernah mimpi untuk cari saya lagi. Cari saya hanya pabila kebencian yang tertanam dalam hati anda itu hilang. Semoga anda berbahagia dengan keluarga dan juga rakan-rakan kita yang berpihak kepada anda.
~~~
Meon seorang penganggur terhormat yang kini sedang menjadikan cerita hidupnya sebagai bahan jenaka apabila bertemu semula dengan sahabat-sahabat lama. Pernah tular sekitar tahun 2015 dengan karya erotika bertajuk Helokz di Wattpad.