Sans-serif

Aa

Serif

Aa

Font size

+ -

Line height

+ -
Light
Dark
Sepia

Kami Tak Lakukannya Suka-Suka: Siri Pekerja Seks Queer Lapis Bhg 3

Oleh VINODH PILLAI | 23 Dec, 2020

KESAN DARIPADA PENULARAN COVID-19, kebanyakan pekerja yang bergantung hidup dengan upah harian terjejas, begitu juga pekerja seks.

Muhammad (bukan nama sebenar), seorang pekerja seks lelaki yang kami temubual untuk siri Queer Lapis mengenai kerjaya seks di Malaysia, berkata dia dapat melayani pelanggan hanya sekali sejak Mac. Dia terpaksa mencari sumber pendapatan lain untuk menyara hidup seperti bekerja di gerai makanan dan minuman atau mempromosi produk. Sementara itu, rakannya Nordin, yang juga pekerja seks lelaki, masih memperoleh pendapatan kerana dia mempunyai pekerjaan lain.

Bagaimanapun, Nordin tahu ramai pekerja seks, kebanyakannya di Lembah Klang, yang tidak bernasib baik. Nordin bercerita mengenai seorang wanita transgender yang tidak dapat meneruskan kerjaya seksnya buat masa ini. “Dia mahu buat perkhidmatan (pekerjaan seks) dari rumah ke rumah tetapi disebabkan sekatan PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), sukar baginya untuk mencari pelanggan. Jadi, ia sangat memberi kesan. Nasib baiklah ada NGO yang membantu.”

Berkat usaha program komuniti HIV, ada kalangan pekerja seks yang dihubungkan telah dibantu NGO ketika PKP. Tetapi adakah semua NGO ini berupaya berhubung dengan yang lain?

Masalah dengan gelaran

Oleh kerana stigma dan persepsi negatif masyarakat terhadap pekerja seks, kebanyakan mereka kekal bersembunyi atau tidak terlalu menonjol, menjadikannya sangat sukar untuk menghubungi mereka atau untuk rangkaian bagi pembelaan hak-hak mereka. Ini menjadikan program NGO seperti PT Foundation lebih sukar untuk memberi pendidikan dan sokongan HIV/AIDS.

Pemangku Ketua Pegawai Operasi PT Foundation, Raymond Tai, percaya melabelkan pekerja seks sebagai pelacur atau kotor adalah sebab persepsi masyarakat mengenai bagaimana pekerja seks, siapa mereka dan motivasi mereka untuk melakukan pekerjaan seks, hampir kekal. Ini menyukarkan orang ramai menerima bahawa sesetengah daripada mereka sebenarnya berpuas hati bergelar pekerja seks. Sebagai contoh, seseorang boleh jadi terpaksa menjadi pekerja seks kerana terdesak daripada segi kewangan, tetapi seiring waktu berjalan, mereka berdikari dan memulakan pekerjaan seks secara mereka sendiri.

Raymond

Oleh kerana persepsi negatif inilah, sukarnya pekerja seks berhubung dengan NGO-NGO ini, malah NGO-NGO ini juga sukar untuk bekerjasama dengan pekerja seks sebagai pekerja temu seru (outreach worker). Bagi kebanyakan organisasi HIV, menjadikan anggota komuniti ini sebagai pekerja temu seru adalah penting kerana mereka dapat memahami isu dan membina kepercayaan kalangan klien.

Namun menurut Raymond, “sepanjang saya bekerja dalam bidang ini, saya hanya kenal dua orang yang selesa untuk mengatakan, ‘Saya seorang pekerja seks wanita dan saya menyediakan khidmat seru temu’. Secara amnya, stigma begitu hebat, bahkan dalam komuniti sendiri di mana ia seharusnya menjadi tempat selamat—tidak ramai orang yang mahu melakukan pekerjaan seperti itu. Jika ia melibatkan pekerja seks lelaki, lagi lah.”

Salah seorang yang menjadi pekerja seru temu ialah Jack, yang berusia 31 tahun. Ketika dia di akhir belasan tahun, Jack bekerja selama enam bulan sebagai pekerja seks. Seorang remaja yang berusaha menampung yuran pengajian tingginya, Jack dengan mudah memperoleh wang sebagai budak urut di sebuah pusat urut tempatan di Kuala Lumpur.

Jack dan rakan sekerjanya melayani pelanggan melalui urutan atau perkhidmatan seksual bagi mendapatkan wang tambahan. Dia mengenang kembali bagaimana warga migran juga bekerja di sana, sering kali memperoleh wang dengan mudah untuk dikirim kepada keluarga di luar negara dan untuk menyara kehidupan mereka.

“Dan bagi warga tempatan, biasanya kerana mereka diusir oleh keluarga, mereka sehelai sepinggang, mereka tidak ada tempat untuk dituju dan mereka tidak ada peluang dan kemahiran untuk mengubah apa yang mereka mahukan—atau mereka ada kemahiran tetapi upahnya tidak sama dengan apa yang mereka peroleh semasa bekerja di sana,” jelas Jack, sambil menambah inilah sebabnya mengapa kebanyakan rakan sekerjanya sebelum ini masih melakukan pekerjaan seks sehingga hari ini sejak 15 tahun lalu.

Jack

Diusir dari rumah dan dipulau oleh keluarga kerana kecenderungan seksualiti, dan tidak tahu ke mana harus dituju dan bagaimana untuk menyara hidup. Keadaan ini tidak asing bagi kebanyakan individu LGBTQ+ di Malaysia. Bagi sesetengah pekerja seks, inilah antara penyebab mereka terjerumus dalam urus niaga ini.

Untuk Jack, dia telah dapat kerja sementara dalam bidang khidmat pelanggan tidak lama kemudian, namun kerja tersebut hanya mempunyai prospek kecil, yang telah membuatnya kemurungan. Segalanya berubah apabila dia mendapat kerja sebagai pekerja temu seru komuniti di PT, kerja yang dia rasa bermakna dan ada masa depannya di sana. “Komuniti selalu berdepan keadaan dipulau dan dibuang oleh pelbagai pihak dan dasar. Tetapi sebagai sebahagian daripada komuniti, ia menjadi tanggungjawab kita untuk membina perubahan yang bermakna untuk masa depan kita semua”.

Kekurangan kepercayaan

Pekerja seks yang kalangan LGBTQ+ berdepan pelbagai bentuk stigma—kerana menjadi pekerja seks, sebagai LGBTQ+, dan miskin—menyebabkan timbul rasa rendah diri dan ketakutan ketika mendapatkan rawatan kesihatan. Selalunya, alasan perasaan ini kukuh.

Dalam kalangan komuniti LGBTQ+, wanita transgender berdepan stigma tambahan kerana dikaitkan dengan kerjaya seks. Ramai dilaporkan berpengalaman berdepan stigma oleh pengendali kesihatan profesional, yang kemudiannya menghalang mereka mendapatkan rawatan sehinggalah lewat mendapatkannya, menafikan hak mereka secara efektif untuk mendapatkan rawatan kesihatan tanpa didiskriminasi.

Bekas pekerja seks dan aktivis hak transgender Khartini Slamah—atau Kak Tini seperti yang kita kenali—percaya ada kaitan antara mesej kerajaan mengenai HIV/AIDS sebelum ini dan mengapa masyarakat masih takut kepada pekerja seks, mungkin kerana mereka berisiko lebih tinggi dijangkiti virus jika mereka tidak melakukan seks selamat.

“Malah pada tahun 90-an, 2000-an, orang ramai takut dengan pekerja seks transgender,” kata Kak Tini. “Kami pekerja seks transgender bimbang kerana persepsi masyarakat Malaysia terhadap orang yang positif HIV”. Dia bercakap tentang taktik menakut-nakutkan oleh kerajaan yang telah menjauhkan pekerja seks daripada menjalani saringan HIV dan jangkitan seksual (STI).

Kak TIni

Disebabkan perkara inilah, Kak Tini menempelak jururawat dan doktor prejudis yang merawat pesakit transgender dengan biadab atau enggan memberi perkhidmatan suatu masa dulu. Dia menyalahkan golongan tersebut yang menyebabkan beberapa rakan transgendernya menghidapi AIDS pada hari ini; mereka terlalu takut selalunya untuk disaring pada masa itu dan mereka tidak pernah tahu bahawa mereka dijangkiti. Syukurlah, masa telah berubah.

“Disebabkan kerja seru temu dan penglibatan berterusan pekerja kes (case workers) di klinik dan NGO, semakin ramai transgender sedia (dirawat) dan saya fikir doktor sekarang lebih sensitif. Malah cara mereka berurusan dengan transgender yang mengambil rawatan, mereka tidak bertanya mengenai sejarah, kerjaya seksual, atau apa sahaja tentang anda.” Hasilnya, mereka dapat menjangkaui ramai pekerja seks wanita transgender. Dia menambah, “Saya rasa ramai juga generasi muda MSM (lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki) mulai menonjolkan diri.”

Tetapi nampaknya tidak munasabah untuk mengharapkan pekerja seks mempercayai dan bergantung pada semua agensi kerajaan dan secara khususnya, kerajaan. “Saya tidak fikir ada antara mereka yang akan ke institusi kerajaan dan mendedahkan, ‘Saya seorang pekerja seks. Apa yang boleh kamu bantu saya?’” kata Raymond. “Mereka akan pergi ke sana dan berkata, ‘Saya daripada kumpulan B40 (golongan berpendapatan rendah). Kami memerlukan bantuan subsidi kerajaan atau apa sahaja, tetapi mereka tidak akan mengaku mereka adalah pekerja seks’.”

Jack pula bercerita mengenai kemungkinan gangguan daripada pihak berkuasa tempatan sebagai alasan pekerja seks tidak memperkenalkan diri mereka sebagai pekerja seks ketika mendapatkan akses khidmat kesihatan. Raymond dan Jack berkata agensi kerajaan dilihat sebagai jalan terakhir bagi pekerja seks menyelesaikan masalah mereka. Dengan segala undang-undang yang mensasarkan pekerja seks dan golongan LGBTQ+, mereka mungkin menganggap pendirian mana-mana pegawai kerajaan terhadap mereka berkemungkinan mendiskriminasi dan berpandangan negatif.

‘Hak-hak pekerja seks telah dihadkan’

Sementara itu, Muhammad sedar kerjayanya dianggap sebagai tidak sah, mengambil contoh undang-undang kontroversi liwat di Malaysia yang meletakkan perbuatan seks sesama jenis sebagai jenayah.

Tertarik dengan anggapan memperolehi wang yang banyak dalam waktu singkat, Muhammad terlibat dalam kerjaya seks pada usia 18 tahun. Dia sudah pasti cukup berjaya dalam empat tahun bekerja sebagai pekerja seks sepenuh masa, namun ia tidak semudah itu. Lebih memburukkan keadaan, Muhammad, yang kini bekerja sebagai pekerja seks sambilan ketika sedang menyambung pelajaran, juga merupakan seorang Muslim. Ini bererti dia sekarang berdepan risiko berganda ditangkap oleh pihak berkuasa agama dan didakwai di bawah undang-undang syariah negeri, selain polis dan undang-undang sivil.

Muhammad

Dia juga berkongsi kenangan pahit pernah ditangkap di pesta seks. Dia berkata pegawai penguat kuasa agama membulinya untuk bertaubat. “Sesetengah daripada mereka dapat menerima apa yang kami lakukan (pekerjaan seks), tetapi ada antara mereka yang tidak dapat menerimanya, dan kerana itu, ramai pekerja seks yang ditekan oleh pihak berkuasa agama mengalami kemurungan.”

“Bagi saya, hak untuk pekerja seks makin dihadkan di Malaysia,” katanya. “Sukar bagi orang-orang seperti kami untuk melakukan pekerjaan ini, untuk mendapatkan wang dengan cara kami. Terdapat banyak sekatan yang menghalang kami daripada memperjuangkan hak-hak kami untuk hidup seperti orang biasa.”

Sementara itu, rakan Muhammad, Nordin, seorang pekerja seks nirdedua (non-binary), juga pernah ditangkap beberapa kali. Dia mengenang kembali bagaimana dia ditangkap kerana “berpakaian menyerupai wanita” dan pada waktu yang lain, dipaksa oleh seorang anggota polis untuk memberi suapan kerana melakukan seks oral dengan pelanggan. Dalam kedua-dua contoh itu, dia merasakan pelbagai undang-undang syariah yang menjenayahkan realiti hidup golongan LGBTQ+ dan pekerja seks sepertinya, adalah tidak berasas.

“Mereka tidak hanya mendakwa dengan satu peruntukan undang-undang; malah banyak lagi, terutamanya syariah. Saya rasa mereka mempunyai seksyen yang menghukum ‘perbuatan yang tidak elok di mana-mana … yang menganggu awam’. Apa maksudnya? Jadi bagi saya, ini tidak bagus—menyebabkan lebih ramai akan bersembunyi. Mereka takut untuk keluar ke dunia luar.”

Nordin

Ia juga tidak adil, tambahnya, kerana pekerja seks patut mempunyai hak untuk melakukan kerja yang mereka lakukan tanpa gangguan daripada agensi penguatkuasaan undang-undang. Baginya, undang-undang dan tindakan penguatkuasaan tidak mengambil kira alasan mengapa mereka melakukan pekerjaan seks; Nordin, misalnya, hanya melakukan pekerjaan seks kerana dia memerlukan wang untuk menampung pengajian.

“Kami berhak untuk mengatakan bahawa pekerjaan seks baik-baik saja kerana kami mempunyai alasan untuk berbuat demikian. Tetapi masalahnya; mereka tidak mahu mendengar alasan kami. Mereka fikir kami buat ini untuk berseronok… lah kita suka-suka.

“Tetapi mereka tidak tahu bahawa, sebenarnya, kami benar-benar perlu melakukannya kerana kami tiada orang lain (untuk tolong kita)… Bagi mereka yang belum merasai pengalaman ini, mereka tidak akan tahu.”

*

Ikuti bab terakhir kami untuk Soalan Lazim mengenai pekerjaan seks serta sumber perundangan bersama yang sahih yang dapat membantu mereka!

Baca siri pekerjaan seks kami yang lain di sini.

Nota penyunting: Kisah ini diterbitkan sempena Hari Menghentikan Keganasan Terhadap Pekerja Seks Sedunia, yang disambut seluruh dunia pada 17 Disember. Hari ini disambut bagi kesedaran ramai tentang jenayah berasaskan kebencian terhadap pekerja seks di seluruh dunia, dan ia juga telah memperkasa pekerja seks di serata bandar di seluruh dunia untuk bersatu serta melawan diskrimasi, sekaligus memperingati mangsa-mangsa keganasan ini. Baca lanjut berkenaan hari tersebut di sini.

~ ~ ~ ~ ~ ~

Vinodh Pillai adalah seorang penulis isu-isu LGBTQ+.

Projek ini adalah kerjasama antara Vinodh Pillai, Queer Lapis dan Projek Dialog.

Ilustrasi oleh Art.Zaid.

Disunting oleh Pang Khee Teik, Thilaga, Ryan Ong dan Salami.

Diterjemah oleh Itawaliz Luziza.