Queering Theology: Mengubah Naratif LGBTQ Sebagai Pendosa
Oleh Afiq M Noor | 13 November 2020
“Mereka sangat kasar. Salah seorang daripada mereka memicit buah dada saya. Saya berasa sangat malu….Mereka melucutkan pakaian saya sepenuhnya. Salah seorang daripada mereka mengambil baton polis dan mencucuk kemaluan saya. Semua orang memandang saya…Mereka mengambil gambar saya dalam keadaan bogel. Mereka melayan saya seperti binatang. Saya berkata, ‘Mengapa awak melayan saya seperti binatang? Saya pun manusia biasa. Saya juga diciptakan oleh Tuhan’…” cerita Victoria seorang transgender sewaktu mengimbas penahanannya pada 2011 di Negeri Sembilan.
Ini mungkin sebahagian kecil daripada sekian banyak pengalaman hitam yang terpaksa dilalui oleh teman-teman transgender yang dimuatkan dalam Laporan Human Rights Watch berjudul “Saya Takut Untuk Menjadi Wanita” – Pencabulan Hak Asasi Terhadap Golongan Transgender Di Malaysia.
Saya selalu terfikir, berapa ramai lagi yang harus terkorban kerana menjadi dirinya sendiri? Sampai bila kita mahu menggunakan agama untuk menjustifikasi kezaliman hanya kerana orientasi seksual dan identiti gender yang berbeza?
Tidak berapa lama dahulu, saya pernah diceritakan oleh Numan Afifi, aktivis LGBTIQ tentang seorang remaja lelaki yang diikat dan dipaksa untuk melihat kedua ibu bapanya melakukan hubungan seks kerana ketahuan orientasi seksualnya yang berbeza. Mungkin si ayah dan ibu beranggapan dengan menyaksikan sendiri hubungan intim antara pasangan heteroseksual boleh ‘memulihkan’ sang anak. Barangkali mereka lupa, dalam dunia yang serba canggih si anak hanya perlu memuat turun ‘proxy’ di internet dan boleh mengakses laman-laman pornografi yang tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Daripada Pornhub yang terkenal dengan kerja sosialnya membantu membersihkan pesisir pantai yang kotor dan tercemar, Redtube, X-Hamster sehingga OnlyFans yang khabarnya turut digemari oleh sebahagian orang politik – akses kepada bahan pornografi menjadi lebih mudah dan terjangkau sehingga idea untuk memaksa sang anak melihat sendiri kedua ibu bapanya melakukan hubungan seks adalah sesuatu yang berada di luar nalar pemikiran manusia sihat.
Tidak kurang juga trend menyalahkan jin, syaitan dan perkara-perkara yang tidak terlihat mata hanya kerana orientasi seksual yang berbeza. Saya pernah dan masih dihubungi oleh ahli keluarga dan individu yang bertanyakan samada boleh atau tidak saya meruqyah anak atau diri mereka sendiri kerana khuatir ada jin yang bergayut di mata atau di ‘ding ding dong’ mereka yang menyebabkan mereka lebih berminat dengan pasangan sesama jenis. Pernah juga tular di media sosial tidak berapa lama dahulu tentang teknik ruqyah pukulan menggunakan kayu atau lada hitam yang disembur di mata kononnya sebagai usaha untuk mengeluarkan jin yang bersarang dalam badan yang menyebabkan seseorang itu menyukai dan berahi kepada sesama jenis.
Queering Theology
Islam dan LGBTIQ sentiasa diposisikan secara berseberangan, setidaknya oleh mereka yang memakai jubah agama. Naratif bahawa minoriti seksual sebagai seorang pendosa, terkeluar daripada fitrah kemanusiaan dan dilaknat Tuhan ternyata membuatkan mereka berasa jauh hati daripada agama dan Tuhan.
Masakan tidak, kalau di ‘swipe left’ di Tinder atau di ‘ghosted’ di aplikasi zaman moden lain sahaja kita oleh boleh termenung hilang keyakinan diri inikan pula di ‘swipe left’ oleh agama yang sejak dari kecil kita didoktrinkan sebagai agama yang merangkul semua manusia tanpa kecuali, agama kemanusiaan serta pembela kepada minoriti dan kelompok rentan. Tidak jarang saya temukan, teman-teman LGBTIQ yang memilih untuk menjauh daripada agama kerana merasakan mustahil Tuhan akan berbagi kasih-Nya kepada mereka.
Keragaman seksualiti dan gender bukanlah sesuatu yang asing dalam sejarah kemanusiaan. Islam sebagai agama juga tidak terlepas daripada membicarakan tentang seksualiti. Di dalam Al-Quran misalnya dalam Surah Al-Nuur ayat 31 menceritakan tentang ‘ulil irbah min al rijal’ atau lelaki yang tidak ada ketertarikan seksual kepada perempuan yang nantinya diceritakan secara lengkap dalam beberapa hadith seperti yang diriwayatkan oleh Aishah RH dan Ummu Salamah RH yang bergaul secara langsung dengan mereka yang dipanggil mukhannath dan mempunyai fungsi dan peranan sosial tertentu pada zamannya.
Di dalam Surah Al-Insan ayat 19, Surah Al-Waqi’ah ayat 17 dan Surah Al-Thuur ayat 24 diceritakan bahawa di syurga nanti lelaki-lelaki penghuni syurga akan dikelilingi oleh para wildan dan ghilman atau pemuda-pemuda yang siap melayani keperluan mereka. Al-Zamaksyari dalam tafsirnya Al-Kasyaf sewaktu menceritakan perihal wildan menyatakan bahawa mereka adalah anak-anak muda yang tampan dan lincah serta siap menjadi pelayan kepada penghuni-penghuni syurga. Mereka juga akan berhias dengan memakai anting-anting.
Setarikkan nafas dengan Al-Quran, Hadith juga turut menceritakan tentang realiti keragaman gender dan seksualiti yang terjadi di zaman Rasulullah SAW, misalnya al-mukhannath dan al-mutarajilat yang masing-masing boleh diertikan sebagai perempuan trans dan lelaki trans. Begitu juga dengan istilah khuntsa atau interseks.
Tidak berhenti di situ, teks-teks fiqh juga turut membicarakan perihal tersebut dalam konteks yang jauh lebih besar misalnya tentang amrad dan ghulam yang bererti lelaki muda yang masih belum ditumbuhi janggut yang dianggap eksotik dan memiliki tarikan secara seksual khususnya buat para lelaki, sehingga nanti para amrad ini dilarang untuk hadir ke tempat tumpuan umum seperti bersolat di masjid, menghadiri majlis-majlis ilmu bahkan berjabat tangan dan berdua-duaan dengan lelaki lain. Mungkin istilah yang lebih kontemporari bagi amrad dan ghulam buat kita di Malaysia adalah anak ikan atau jambu.
Nah, itu baru sebahagian kecil daripada khazanah perbahasan di teks-teks klasik Islam tentang keragaman gender dan seksualiti yang boleh saya sebut secara ringkas. Terdapat banyak lagi perbahasan-perbahasan lain daripada teks klasik sehingga kontemporari tentang perihal ini.
Fatwa juga kelihatannya beragam dikeluarkan oleh para ulama di berbagai belahan dunia dari masa ke masa sekitar isu-isu keragaman gender dan seksualiti. Persoalannya bersediakah kita berlapang dada menerima perbezaan dan kepelbagaian ini?
Manusia Separuh Tuhan
Sebagai manusia kita sentiasa melalui proses untuk mencari jalan dan solusi terbaik bagi menyelesaikan masalah umat—termasuk umat yang berbeza identiti gender dan seksualnya daripada kita. Dari tahun 2009 sewaktu saya turun ke lorong mendengar dan belajar dari pekerja-pekerja seks transgender di sekitar Kuala Lumpur, hidup sebagai minoriti seksual tidak mudah. Kata mereka, “kalau diberi pilihan, tidak mungkin kita memilih menjadi seperti sekarang”.
Teks-teks suci yang dibaca buat melaknat, menghina dan mendosakan minoriti seksual tidak berhujung berbanding memberikan kebahagiaan kepada manusia. Ada di antara mereka yang dihalau oleh keluarga, dinafikan peluang pekerjaan, tidak mendapat akses perkhidmatan kesihatan yang selayaknya dan dinafikan hak untuk beragama semata-mata kerana berbeza.
Sudah tiba masanya teks-teks yang diskriminatif yang sarat dengan tafsiran-tafsiran patriarki dan heteronormatif dibaca ulang supaya lebih merangkul semua khalayak dan manusiawi. Usaha-usaha untuk melahirkan ijtihad baru yang lebih kontemporari dan ‘queer friendly’ perlu dilakukan. Ingat, dunia ini bukan milik heteroseksual semata. Saya yakin Tuhan yang menciptakan kita jauh lebih besar rahmat dan kasih sayang-Nya kepada semua ciptaan tanpa kecuali.
Bukankah Dia juga menciptakan manusia yang beragam identiti seksual dan gendernya untuk kita saling kenal-mengenali?
~ ~ ~
Afiq M Nor adalah seorang peguam dan penyelidik isu-isu perundangan Islam, gender & seksualiti.
1 Comment
“Sudah tiba masanya teks-teks yang diskriminatif yang sarat dengan tafsiran-tafsiran patriarki dan heteronormatif dibaca ulang supaya lebih merangkul semua khalayak dan manusiawi” just when I thought of an original argument instead of a regurgitated western identity-obsessed politics ideologies.