Sans-serif

Aa

Serif

Aa

Font size

+ -

Line height

+ -
Light
Dark
Sepia

Kisah Orang Kita: Penulisan LGBT Oleh LGBT

Kisah berikut adalah salah satu daripada 10 kisah-kisah benar dalam Kisah Orang Kita: Penulisan LGBT oleh LGBT, ebook baru yang diterbitkan oleh Matahari Books dengan Queer Lapis.

Cover design oleh Jesse Joy

CINTA LAUT CINA SELATAN

─Andiev Sengalang─

Setelah beberapa tahun bekerja di Kuala Lumpur, saya berpindah ke Pulau Pinang apabila mendapat tawaran kerja di sebuah kafe terkemuka di George Town. Pada hari pertama di dapur pastri, saya diperkenalkan kepada semua rakan sekerja dan terus tertarik pada salah seorang daripada mereka. Berdiri di belakang sekali, orangnya muda, berambut perang ditutup dengan topi besbol yang muncungnya dihadapkan ke belakang. Mukanya bersih dan comel, matanya liar walaupun sedikit sepet, dan bibirnya mengukir senyuman yang tidak pernah lekang. Bergetar hati memandangnya, timbul rasa hendak berkenalan.

Leong dua tahun lebih muda dari saya, sentiasa ceria, rajin, dan bertenaga. Di tempat kerja kami, hilai tawanya sentiasa kedengaran. Ada kalanya, sedang khusyuk saya mengadun doh roti akan terasa seakan matanya mencuri pandang. Saya sendiri pun sama, dalam diam mencuri pandangan saat Leong mengangkat dulang roti untuk dimasukkan ke dalam ketuhar, memandang bahunya yang lebar dan bajunya yang terselak, menampakkan belakang tubuhnya yang keras menampung berat, mendedahkan manik-manik peluh.

Hubungan kami pada mulanya sekadar penyelia dan pekerja. Sedikit gusar pada mulanya hendak mengejar yang lebih-lebih. Ingatan pahit meninggalkan Kuala Lumpur dan pertengkaran terakhir dengan bekas pasangan lama sebelum saya berpindah masih kuat. Jadi, lebih baik berkawan sahaja. Kami sering berbual hal kerja dan lepak bersama. Semakin hari kami semakin rapat, rasa suka makin kuat. Sehingga rakan-rakan sekerja yang lain pun mulai perasan, malah ada yang suka mengusik.

Namun dalam lubuk hati, saya menyimpan rahsia yang membuat kehendak diri untuk jalinkan hubungan sukar kerana ia satu perkara tabu, dan diskriminasi yang dialami masih kuat walaupun dalam kalangan LGBT sendiri.

Saya ingat lagi, semasa kami melepak di sebuah kedai mamak sambil melayan cuaca panas Tanjong. Saya berpaling kepada Leong dan beranikan diri: “Leong, ada sesuatu yang saya nak beritahu.”

Leong toleh memandang, menunggu.

“Leong, saya tahu kita semakin rapat. Awak pun tahu kan, saya sebenarnya bukan mencari teman lelaki. Saya suka awak. Saya pun tahu awak suka saya,” suara saya terketar-ketar. “Sebelum hubungan kita jadi semakin serius, ada sesuatu yang awak perlu tahu tentang saya.”

“Apa dia, Ben?” Muka Leong sudah kerisauan.

“Leong, saya HIV positif.”

Dia terdiam. Saya menghela nafas lega setelah begitu lama menyimpan rahsia bagaikan tembok besi di antara kami berdua. Saya redha dengan apa pun keputusan dia. Ini bukan kali pertama saya mengaku tentang status HIV kepada orang lain dan menerima jawapan yang negatif. Sudah lali dengan semua itu, tapi masih menaruh harapan.

“Terima kasih sebab jujur dengan saya,” ujar Leong perlahan-lahan. “Awak risau yang saya takkan terima awak sebab status HIV positif awak tu? Sebenarnya saya pun ada seorang kawan yang positif. Jadi benda ni bukan sesuatu yang menakutkan saya. Saya suka awak. Itu sudah cukup kan?”

Saya tersenyum, terharu dan tidak lagi mampu berkata-kata.

Keluarga Leong yang tahu tentang status saya tidak gembira dengan hubungan kami. Keluarganya sudah lama tahu tentang seksualiti Leong dan kenal bekas pasangan Leong yang dahulu. Dua sebab yang menjadikan mereka sedikit tidak selesa; pertamanya kami bukan sebangsa. Kerisauan mereka lebih kepada perbezaan budaya dan kesukaran untuk berkomunikasi dengan saya yang tidak pandai bercakap Hokkien. Keduanya, status HIV positif saya; gusar yang anak mereka juga akan dijangkiti virus sama. Hal ini sering berbangkit dan menjadi punca perbalahan antara Leong dengan keluarganya. Acap kali saya menilai kembali hubungan kami, tidak mahu menjadi punca terputusnya hubungan Leong dengan keluarganya. Rasa bersalah itu membawa kepada pertengkaran. Mahu saja diputuskan hubungan kami, namun Leong enggan mengalah. Marah dia kerana begitu senang saya mengaku kalah.

Walaupun saya tidak berapa disambut mesra oleh keluarganya, Leong tetap membawa saya melawat kedua ibubapanya seminggu sekali. Ditebalkan muka untuk masuk rumah mereka, bersalaman dengan ibubapanya, bermesra dengan adik-beradik dan anak-anak buahnya. Leong punyai keluarga besar, tujuh beradik. Walaupun sangat degil, dia anak emas emaknya. Pada majlis keramaian dan Tahun Baru Cina, saya akan datang untuk makan bersama dan membantu mengemas rumah. Ibu Leong garang, suaranya kuat sehingga boleh kedengaran di luar rumah kayu mereka di Jelutong.

Berkat usaha Leong yang tidak mahu mengalah, sedikit demi sedikit dia berjaya mendidik ahli keluarganya tentang virus dan cara jangkitan HIV; sedikit demi sedikit mereka mula berubah hati sehingga saya mula diterima. Perubahan hati emaknya ketara apabila makcik mula menghubungi saya untuk bertanya khabar tanpa Leong sebagai perantara. Oleh kerana keluarganya jarang bersua dengan pribumi Sarawak dan risau tentang hal pemakanan, soalan yang sering diajukan ialah “Kamu boleh makan babi tak?” Saya tersengih menjawab, “Semua saya boleh makan, makcik.”

───♦───

Di awal hubungan kami, saya sudah pun lebih setahun mengambil ubat antiretroviral, dan berstatus UVL (Undetectable Viral Load), yang bermaksud virus HIV dalam darah sangat rendah dan tidak lagi mempunyai kesan terhadap sistem imun. Banyak kajian baru yang telah dijalankan menunjukkan bahawa dalam status UVL, virus itu tidak akan merebak kepada pasangan si pembawa, walaupun mereka mengamalkan seks tanpa kondom. Tapi, berulang-alik ke hospital untuk pemeriksaan kesihatan tetap menjadi rutin, dan Leong selalunya akan menjadi peneman.

“Dah makan ubat ke belum?” ayat lazimnya setiap hari. Kalau terlupa, habislah saya dihambur dengan leterannya. Leong lelaki yang penyayang, dan selesa menunjukkan sifatnya itu berbanding saya yang lebih pendiam. Hubungan berlainan budaya juga ada cabaran tersendiri. Kami belajar tentang kebudayaan dan pantang-larang masing-masing. Dia mengajar saya supaya tidak menimbun pinggan selepas makan dan menyimpan sepaket angpau di dalam dompet. Saya mengajarnya cara minum tuak dan berjoget sampai pagi!

Kini sudah tahun keempat kami bersama, dan Leong tetap berstatus HIV negatif. Dia bekerja di luar negara setelah mendapat satu tawaran yang lumayan. Pada hari penerbangannya, saya hanya mampu memeluk Leong. Kami berkucupan diiringi linangan air mata, hilang dalam cengkaman bibir sehingga nafas dan masa seperti terhenti. Malam itu, saya terlantar di atas katil seorang diri, terasa ruang tidur kami sejuk sunyi, tiada lagi susuk tubuh hangatnya di sisi.

Bermacam-macam dugaan yang telah kami tempuhi. Bertengkar, berkompromi, pujuk rajuk, gurau senda, semua sudah menjadi lumrah hubungan kami. Saya sedar yang kami berdua amat bertuah kerana kami dan keluarga masing-masing menerima baik hubungan ini. Untuk warga poz di luar sana, saya hanya mampu menghulurkan sokongan moral kepada kamu. Jangan biarkan status HIV positif mendefinisikan kamu, kerana kita semua lebih dari hanya virus itu, dan mungkin satu hari nanti, kamu akan berjumpa dengan orang yang menerima kamu seadanya.

~ ~ ~ ~ ~ ~

Muat turun ebook “Kisah Orang Kita: Penulisan LGBT Oleh LGBT” di sini, hanya RM4.99 sahaja!

Tangan Terbuka Kepada Remaja LGBT

Drawing The Virus Out: Making queer art on my own terms

GTLF: The Most Inclusive & Radical Festival

Leave a Reply